POPE Francis semalam menerima surat peletakan biskop Braizil yang disyaki mengugut paderi dan menutup kes salah laku seksual, kata Vatican dalam satu kenyataan.
Pengumuman itu dibuat selepas Pope Francis pada minggu lalu mengeluarkan arahan supaya mereka yang tahu tentang kes penderaan seksual di gereja Katolik, untuk melaporkannya pada pegawai atasan mereka.
Langkah itu dilihat akan menyebabkan banyak lagi kes penderaan seksual di gereja, muncul dan mendapat perhatian.
Vilson Dias de Oliveira, 60, mengaku kepada polis Brazil pada April bahawa dia menyelewengkan AS$4,000 wang gereja untuk kegunaan peribadi, mendakwa dia berdepan masalah kewangan, lapor media tempatan.
Dias juga didakwa melindungi paderi yang dituduh melakukan penderaan seksual.
Vatican biasanya akan membuat pengumuman apabila Pope Francis menerima surat peletakan jawatan daripada biskop, tetapi tidak pernah memberi penjelasan kenapa.
Dias turut mengakui kepada penyiasat dia membeli dua hartanah di Brazil bernilai lebih AS$250,000 tetapi mendakwa menggunakan wang keluarganya dan pendapatan daripada gereja.
Gereja Katolik digemparkan dengan skandal pedofilia di seluruh dunia dengan mangsa mula tampil di kebanyakan negara, dari Australia hingga Chile, Jerman dan Amerika Syarikat. – AFP, 18 Mei, 2019.
Komen