SEORANG doktor di Universiti Ohio State didakwa melakukan penderaan seksual terhadap sekurang-kurangnya 177 pelajar lelaki selama dua dekad dan selama ini tidak dikenakan tindakan walaupun ada aduan berkenaan tindakannya.
Richard Strauss, yang meninggal dunia pada 2005 melakukan penderaan itu ketika bekerja di universiti itu dari 1978 hingga 1998, dan staf universiti tahu tentang aduan terhadapnya seawal 1979, menurut satu siasatan bebas yang dijalankan selama 12 bulan.
Siasatan itu mengkaji tuduhan salah laku dari 1979 hingga 1997 yang dilaporkan oleh bekas pelajar – 150 daripada melaporkan sendiri penderaan seksual yang dilakukan Strauss.
Secara keseluruhan, lebih 440 bekas pelajar dan staf universiti yang dipercayai ada maklumat berkaitan tuduhan membabitkan Strauss ditemu bual untuk siasatan itu.
Mangsa termasuk atlet selam pelajar lain yang bertemu dengan Strauss di pusat kesihatan universiti dan pejabat perubatan persendirian di luar kampus.
Strauss membuka pejabat perubatan persendirian pada 1996 selepas digantung daripada tugasnya di universiti tetapi masih kekal sebagai anggota fakulti.
Presiden universiti itu Michael Drake berkata siasatan bebas dibuat terhadap tuduhan itu selepas ia dibawa ke perhatian universiti tahun lalu. – AFP, 18 Mei, 2019.
Komen