PBB semalam berkata ia mendaftarkan lebih 250,000 pelarian Rohingya di Bangladesh, dengan kebanyakannya kali pertama mendapat kad pengenalan dan bukti hak mereka untuk kembali ke Myanmar pada masa depan.
Agensi pelarian PBB juga berkata pendaftaran itu boleh menjadi alat untuk penguatkuasaan undang-undang bagi membantu menangani penyeludupan manusia.
“Lebih suku daripada sejuta pelarian Rohingya dari Myanmar kini berdaftar dan diberikan kad pengenalan oleh pihak berkuasa Bangladesh dan UNHCR,” kata jurucakapnya Andrej Mahecic di Geneva.
Kira-kira 740,000 pelarian Rohingya melarikan diri susulan tindakan kekerasan tentera pada Ogos 2017, ke Bangladesh di mana 300,000 minoriti Islam itu sudah pun berada di kem.
Kebanyakan pelarian berkata berlaku tindakan merogol beramai-ramai dan pembunuhan di kampung-kampung, dan dalam satu laporan disiarkan pada September lalu, mendapati ada alasan kukuh menunjukkan ia adalah genosid.
UNHCR dalam anggarannya berkata pelarian Rohingya di Cox’s Bazar pada masa ini sekitar 900,000, walaupun jumlah itu rendah berbanding anggaran pihak berkuasa Bangladesh dan organisasi bantuan lain.
Mereka tidak ada kewarganegaraan walaupun kebanyakan keluarga tinggal di Myanmar dari generasi ke generasi lamanya.
“Pelaksanaan pendaftaran itu yang bermula Jun 2018 bertujuan melindungi hak pelarian Rohingya untuk kembali secara sukarela ke Myanmar secara sukarela,” kata Mahecic.
Myanmar dan Bangladesh menandatangani memorandum persefahaman untuk menghantar pulang Rohingya, tetapi kerana faktor keselamatan kebanyakan pelarian enggan pulang.
Kad pengenalan baharu itu diberikan kepada pelarian berusia 12 tahun ke atas, menyenaraikan maklumat penting termasuk nama, kaitan keluarga, cap jari dan imbasan Iris.
Mahecic berkata kad itu turut menyenaraikan Myanmar sebagai negara asal pelarian. – AFP, 18 Mei, 2019.
Komen