KEGAGALAN kontraktor menyebabkan Putrajaya mengalami kerugian lebih RM1 bilion dan dua bidang tanah dalam projek Johor, menurut laporan audit khas Kementerian Pertahanan (Kementah).
Laporan itu mendapati, “kelemahan dan kecuaian” dalam proses pemilihan pemaju, yang membawa kepada kegagalan bagi keseluruhan projek pembangunan.
“Isu bon dan pengurusan projek yang lemah menyebabkan projek berkenaan gagal dan menyebabkan kerajaan kehilangan tanahnya,” menurut laporan oleh bekas ketua audit negara Ambrin Buang.
Laporan itu mencadangkan kerajaan meneruskan tindakan saman terhadap pemaju.
Projek itu mula ditandatangani pada Julai 1997, yang mana pemaju perlu membina kem di Skudai sebagai pertukaran untuk 382.16 ekar tanah dalam Kem Tebrau dan 71.4 ekar tanah di Kem Penggawa di Plentong.
Projek berkenaan dijangka siap pada Jun 2001, namun pelan projek berkenaan tidak dapat dimuktamadkan sehingga 22 bulan kemudian.
Kementah telah beberapa kali meminta EPU membatalkan projek berkenaan kerana pemaju berdepan masalah kewangan dan tidak dapat menyiapkan kem Skudai. Bagaimanapun, permintaan itu ditolak oleh EPU.
Kerajaan akhirnya menamatkan kontrak pada April 2012 dan menyaman pemaju pada Februari 2017 sebanyak RM1.48 bilion.
Jumlah yang diminta oleh kerajaan termasuk Bon Tanah sebanyak RM256 juta, Bon Prestasi sebanyak RM12.8 juta, perbezaan antara nilai tanah dan bon tanah (sehingga Mei 2015) sebanyak RM37.4 juta, yuran penyelenggaraan untuk kem RM9.5 juta, kos pembinaan untuk kem baru dan sementara RM1 bilion dan kerosakan yang dijelaskan sebanyak RM149 juta (Januari 2013-Mei 2011).
Bekas menteri pertahanan Hishamuddin Hussein menggesa Putrajaya untuk menyiasat perjanjian pertukaran tanah di Plentong dan Tebrau.
Menurutnya, nila kerugian yang ditanggung kerajaan dalam perjanjian itu adalah lebih tinggi berbanding 16 perjanjian pertukaran tanah yang didedahkan Kementah baru-baru ini. – 18 Mei, 2019.
Komen