8 anggota polis Afghanistan terbunuh dalam serangan udara


Anggota polis Afghanistan memeriksa lokasi serangan yang menyebabkan 8 anggota polis maut di wilayah Helmand. – Gambar EPA, 17 Mei, 2019

SEKURANG-kurangnya lapan anggota polis Afghanistan terbunuh dalam serangan udara ketika pertempuran dengan Taliban, kata pihak berkuasa pada Jumaat, dalam insiden terbaharu di negara bergolak itu.

Polis sedang bertempur dengan Taliban di wilayah Helmand pada lewat petang Khamis apabila pasukan keselamatan Afghanistan itu meminta bantuan udara.

“Saya boleh sahkan serangan udara ke atas polis Afghanistan, dan malangnya lapan anggota polis terbunuh manakala 12 lagi cedera,” kata jurucakap kerajaan di wilayah Helmand, Omar Zwak kepada AFP.

Angka kematian itu disahkan oleh jurucakap kementerian dalam negeri Nasrat Rahimi di Facebook. Menurut beliau 11 lagi anggota polis cedera dalam serangan itu.

Rahimi berkata satu delegasi bersama telah dilantik untuk menyiasat insiden berkenaan.

Sementara itu, seroang lagi pegawai - iaitu ketua majlis Ataulah Afghan di wilayah Helmand - memberikan angka berbeza, mengatakan 18 orang anggota polis terbunuh dan 14 lagi cedera.

Hanya pasukan tentera Afghanistan dan Amerika Syarikat di negara itu yang menjalankan serangan udara. Setakat ini tiada sebarang komen daripada pihak tentera AS. – AFP, 17 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen