THE NATION akhbar berbahasa Inggeris di Thailand akan menghentikan edisi cetaknya dan berpindah operasi sepenuhnya ke dalam talian mulai 1 Julai ini dalam usaha mengurangkan kerugian syarikat, lapor akhbar itu.
Peralihan operasi itu bertujuan memberi fokus kepada pembaca dalam talian termasuk mereka yang berada di luar Thailand, kata ketua pegawai eksekutif Kumpulan Multimedia Nation, Somchai Meesen.
“Sejak lima tahun lalu, The Nation rugi 30 juta baht (lebih kurang RM3.95 juta) purata setahun,” katanya.
Peralihan operasi itu bagaimanapun tidak menjejaskan kakitangan, tambahnya.
Satu kaji selidik yang dijalankan akhbar itu menunjukkan hanya 36% pembacanya tinggal di Thailand sementara baki 64% tinggal di luar negara, dengan 25% daripadanya di Amerika Syarikat.
Kaji selidik itu menjelaskan bahawa kebanyakan pembaca The Nation tidak membeli akhbar sebaliknya membaca di laman web atau melalui sumber lain, kata Somchai.
Beliau menjelaskan majoriti pembacanya berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun dan membaca menggunakan telefon pintar.
“Pengurusan baru menimbangkan perkara ini dengan teliti dan memutuskan bahawa The Nation perlu menukar platform dari media cetak ke dalam talian demi memenuhi keperluan kumpulan sasaran dengan lebih cekap,” kata Somchai.
Edisi dalam talian The Nation juga nanti akan menawarkan edisi audio. Ia juga merancang memperkenalkan edisi Bahasa Mandarin mulai Oktober ini untuk pasaran pelancong dan pelabur China. – 17 Mei, 2019
Komen