Iran kutuk serangan udara di Yaman


Serangan udara di Sanaa berlaku susulan serangan dron ke atas salah satu saluran paip minyak utama awal minggu ini yang menurut Riyadh dilakukan atas arahan Tehran. – Gambar AFP, 17 Mei, 2019.

IRAN mengutuk gelombang serangan udara yang diketuai Arab Saudi di kawasan dikuasai pemberontak di Yaman semalam.

Ia berlaku susulan serangan dron ke atas salah satu saluran paip minyak utama awal minggu ini yang menurut Riyadh dilakukan atas arahan Tehran.

“Kami seru masyarakat antarabangsa dan kumpulan hak asasi manusia bertindak atas komitmen mereka dan menghentikan jenayah seperti itu berlaku lagi walau dengan apa cara sekalipun,” kata jurucakap menteri luar Iran, Seyed Abbas Mousavi menerusi satu kenyataan di Telegram.

“Negara-negara yang menyokong pencerobohan di Yaman dengan membekalkan senjata dan bom turut bertanggungjawab atas kejahatan ini dan mesti dikenakan tindakan.”

Mousavi tidak mengulas mengenai tuduhan Riyadh bahawa Tehran dalang di sebalik serangan ke atas saluran paip minyak Arab Saudi pada Selasa.

Kumpulan kemanusiaan Doctors Without Borders (MSF) berkata sekurang-kurangnya empat orang terbunuh manakala 48 cedera dalam serangan udara di Sanaa, Yaman semalam.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) kemudian berkata lima kanak-kanak terbunuh dan 16 orang cedera. – AFP, 17 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen