FELDA hari ini menjelaskan mengapa segelintir peneroka tidak layak untuk menerima insentif RM5,000 yang dijanjikan pada hujung Ogos lalu.
Pengerusinya Shahrir Samad berkata peneroka perlu memenuhi syarat yang ditetapkan.
Mereka yang layak adalah peneroka yang kebunnya diuruskan sepenuhnya oleh Felda dan juga peneroka yang menghantar hasil berterusan kepada ke Felda dari Januari hingga Jun 2017, kata Shahrir dalam satu kenyataan.
Felda memberi maklum balas terhadap laporan The Malaysian Insight pada 20 September lalu yang memetik dua peneroka Felda Jengka, Pahang yang mendakwa tidak menerima insentif berkenaan.
Mohamad Tarmizi dari Felda Jengka 10 dan Jali Sulong dari Felda Jengka 12 memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka tidak menerima apa-apa insentif khas walaupun ia diumumkan pada akhir Julai lalu.
Walaupun tidak menyebut nama peneroka, Shahrir menjelaskan mengapa Jali tidak layak menerima insentif khas itu.
Jali tidak menghantar hasil kelapa sawitnya ke Felda dari Januari hingga Jun tahun ini, kata Shahrir.
“Bagaimanapun beliau telah menandatangani surat akuan untuk kembali bermuafakat bersama Felda. Sekiranya beliau menghantar hasil secara berterusan selama enam bulan, beliau akan menerima insentif ini bermula Februari 2018.”
Sementara itu, ibu kepada Tarmizi menerima insentif khas pada 19 September, kata Shahrir. Tarmizi merupakan peneroka generasi kedua.
Insentif khas bernilai RM5,000 merupakan sebahagian daripada pakej yang diumumkan oleh Perdana Menteri Najib Razak pada akhir Julai lalu untuk mengurangkan beban yang dihadapi peneroka Felda.
Bersama insentif itu, Najib turut mengumumkan pelbagai skim untuk menyelesaikan hutang peneroka seperti geran bernilai RM300 juta untuk menyelesaikan pinjaman yaang dibuat peneroka untuk tanam semula.
Dalam kenyataan itu Shahrir juga berkata pada 19 September, 83% daripada 8,750 peneroka di seluruh kawasan Jengka menerima insentif RM5,000.
355 daripada 370 peneroka di Jengka 10 dan 274 daripada 342 peneroka di Jengka 12 menerima insentif itu, kata Shahrir.
Tambahnya, 79,093 peneroka di seluruh negara menerima insentif khas berkenaan.
Sebahagian peneroka yang mempunyai masalah teknikal akan menerima bayaran tunai pada akhir September 2017 manakala bagi peneroka yang masih tidak mengemaskini akaun bank akan dibayar melalui cek pada bulan Oktober 2017. – 21 September, 2017.
Komen