Korea Selatan dan Perancis jalin kerjasama industri angkasa lepas


Wakil kedua-dua negara menyokong usaha berterusan untuk mengukuhkan perkongsian kerjasama yang komprehensif dan membina rangkaian lebih kukuh. – Gambar AFP, 17 Mei, 2019.

KOREA Selatan dan Perancis bersetuju untuk memperluaskan kerjasama dalam bidang angkasa lepas dan roket untuk memacu peluang pertumbuhan baharu, lapor agensi berita Yonhap.

Pada forum berlangsung di Seoul itu, wakil kedua-dua negara menyokong usaha berterusan untuk mengukuhkan perkongsian kerjasama yang komprehensif dan membina rangkaian lebih kukuh, memetik kenyataan Kementerian Sains Korea Selatan pada Jumaat.

Turut dibincangkan berhubung aspek keselamatan angkasa lepas, penggabungan projek berkaitan angkasa lepas dan roket ke arah menuju era revolusi perindustrian keempat.

Revolusi perindustrian keempat merujuk kepada ekonomi digital yang dipacu oleh kemajuan teknologi, dijangka menjana pertumbuhan ekonomi yang inovatif.

Seoul dan Paris menyelaraskan mengenai dasar keselamatan ruang angkasa, manakala Hanwha Aerospace Korea Selatan, KAI, Arianespace dan Pusat Kajian Angkasa Negara Perancis mengintai peluang baharu dalam perkhidmatan roket angkasa, meningkatkan kebolehpercayaan pelancar roket. 

Di samping itu, kedua-dua pihak bersetuju meningkatkan pertukaran pakar dalam sektor angkasawan dan ruang angkasa untuk memperkukuhkan lagi kerjasama. – Bernama, 17 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen