SEORANG bekas timbalan menteri undang-undang Korea Selatan ditahan atas dakwaan rasuah termasuk diberi habuan pelacur dari seorang kontraktor pembinaan.
Kim Hak-ui adalah bekas pendakwa yang berkhidmat sebagai timbalan kementerian undang-undang pada 2013 semasa pentadbiran bekas presiden Park Geun-hye.
Dia dituduh menerima rasuah 130 juta won (AS$110,000) dan habuan seks melebihi 100 kali daripada ahli perniagaan Yoon Jung-cheon.
Menurut agensi berita Yonhap, Kim ditahan pada semalam selepas Mahkamah Daerah Seoul membenarkan permohonan waran tangkapan atas kemungkinan akan melarikan diri dan mengganggu bukti.
Dia juga dituduh menerima rasuah bernilai 40 juta won daripada seorang lagi ahli perniagaan.
Kim dilantik sebagai timbalan menteri pada Mac 2013, tetapi meletak jawatan seminggu selepas itu.
Kim ketika itu disiasat atas tuduhan merogol dan rasuah tetapi kemudian dibebaskan kerana tidak cukup bukti.
Pendakwa kemudian melancarkan siasatan baharu awal tahun ini dan dia ditahan di Lapangan Terbang Incheon pada Mac ketika mahu ke Bangkok. Kim ketika itu memakai topi dan topeng, mencetuskan syak yang dia mahu melarikan diri.
Kim menafikan dakwaan tersebut. – AFP, 17 Mei, 2019.
Komen