Korban bangunan runtuh Shanghai naik 10 orang


Pihak berkuasa berkata 25 orang ditemui dalam runtuhan itu, 10 daripada mereka meninggal dunia. – Gambar EPA, 17 Mei, 2019.

JUMLAH maut bangunan runtuh di Shanghai yang sedang dibaik pulih naik kepada 10 orang selepas tiga lagi mayat ditemui, kata pegawai bandar hari ini.

Separuh bangunan itu runtuh tengahari semalam, menimbus pekerja di bawah timbunan konkrit dan penghadang kayu.

Pihak berkuasa berkata 25 orang ditemui dalam runtuhan itu, 10 daripada mereka meninggal dunia.

Pengumuman terbaru majlis bandaraya itu dibuat menerusi media sosial bagaimanapun tidak menyebut sama ada yang masih hilang, walaupun mengatakan kerja mencari dan menyelamat “asasnya sudah tamat”.

Pekerja perubatan sedang “berusaha keras” merawat pekerja yang cedera, kata pengumuman itu lagi.

Pekerja menyelamat menarik pekerja yang diseliputi debu dan darah daripada timbunan bangunan semalam, menurut wartawan AFP yang berada di tempat kejadian.

Bangunan itu sebelum ini menjadi pusat jualan Mercedes-Benz, kata kerajaan.

Tetapi, ia sudah bertukar milik dan sedang dibangunkan semula untuk menjadi pusat seni dan inovasi, lapor media China.

Tragedi bangunan runtuh dan kemalangan tapak pembinaan tidak asing di China, banyak dipersalahkan kepada perkembangan pesat negara itu menyebabkan kontraktor menggunakan jalan pintas dan melanggar peraturan keselamatan.

Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh pada 2016 apabila sebuah bangunan bertingkat dihuni pekerja asing runtuh di bandar Wenzhou. – AFP, 17 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen