MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan Jun tahun depan untuk mendengar tiga pertuduhan pengubahan wang haram RM27 juta berkaitan SRC International dihadapi Najib Razak.
Hakim Mohd Zaini Mazlan menetapkan tarikh bicara pada 2 hingga 4, 9 hingga 11, 15 hingga 18 dan 23 hingga 25 Jun 2020 untuk mendengar kes tersebut.
Najib mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ke atas tiga pertuduhan mendapat hasil daripada keuntungan haram menerusi tiga akaun AmPrivate Banking miliknya pada 8 Februari lalu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Kes itu kemudiannya dipindahkan ke mahkamah tinggi tiga hari kemudian.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 1984 dibawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Jika disabitkan bersalah, beliau boleh dipenjarakan sehingga lima tahun atau didenda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya sekali. – 17 Mei, 2019.
Komen