LEVI pelepasan yang dicadangkan untuk dikenakan kepada penumpang pengangkutan udara akan menggantikan cukai pelancongan pada September, kata sumber industri, menambah ia bakal lebih memudahkan pelawat ke negara ini.
Mereka berkata pelancong sudah pun dikenakan banyak cukai di Malaysia kerana perlu membayar cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan dan jualan, di mana kedua-duanya menambah kos perjalanan.
Sementara itu, levi pelepasan dijangka menjana pendapatan RM1 bilion, kata sumber industri kepada The Malaysian Insight.
Ini berdasarkan kepada anggaran tahunan pelepasan 30 juta pengguna, di mana 13 juta ke negara Asia Tenggara sementara selebihnya ke negara lain.
Cukai pelancongan dikuatkuasakan pada September 2017, mengenakan bayaran RM10 satu malam kepada pelancong asing, sementara pelancong warga Malaysia dikecualikan.
Kementerian Kewangan berkata kerajaan mengutip RM134.5 juta bagi cukai pelancongan pada 2018, bermakna levi pelepasan berpotensi mengutip 10 kali ganda pendapatan.
Sumber berkata menamatkan cukai pelancongan juga selaras dengan peraturan Organisasi Perdagangan Dunia yang melarang cukai dikenakan dua kali.
“Pada masa ini, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan bersetuju menghentikan kutipan cukai pelancongan dan menunggu kelulusan Kabinet untuk mengesahkannya,” kata sumber.
Mengikut pengumuman Kementerian Kewangan pada Mac tahun ini, Sabah, Pulau Pinang dan Selangor antara negeri yang mengutip paling banyak cukai pelancongan, dengan kutipan mereka melebihi 50% jumlah keseluruhan pendapatan.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan pihak dalam industri berpendapat sekarang bukan masa terbaik menguatkuasakan levi pelepasan kerana ekonomi dunia yang perlahan dan akan merencatkan kemasukan pelancong.
Mereka juga berkata ia akan menjejaskan kempen “Lawat Malaysia 2020” untuk menarik pelancong asing dan tempatan.
Ada juga berpendapat levi pelepasan tidak menjejaskan pelancong kerana mereka yang mampu terbang ke luar negara mampu menampung cukai itu.
Bulan lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata levi pelepasan akan hanya dikenakan untuk penerbangan luar negara dan tidak membabitkan pengangkutan lain.
The Malaysian Insight semalam melaporkan penumpang kelas pertama dan perniagaan akan membayar levi pelepasan baharu yang lebih tinggi kerana Putrajaya sedang mengkaji kadar baharu bagi membolehkan golongan kaya mensubsidi penumpang kurang berkemampuan dalam pengangkutan udara.
Memetik sumber, ia melaporkan di bawah pelan penstrukturan semula yang baharu, penumpang kelas pertama dan perniagaan akan membayar maksimum RM150 levi pelepasan berbanding RM20 untuk penumpang kelas ekonomi.
Levi baharu itu dijangka diperkenalkan pada September, tertakluk kepada kelulusan Kabinet. – 19 Mei, 2019.
Komen