AKTIVIS haiwan menggesa Kenya mengharamkan aktiviti menyembelih keldai untuk kegunaan dalam perubatan Cina, satu amalan yang semakin berleluasa sejak beberapa tahun terakhir ini dan menjejaskan populasi haiwan itu di Afrika.
Kulit keldai dieksport ke China untuk dijadikan ubat tradisional dikenali sebagai ejiao, yang dipercayai dapat memperbaiki aliran darah, melambatkan penuaan dan merangsang libido dan kesuburan.
Dulu, ia hanya khas untuk maharaja tetapi kini sangat diminati oleh golongan kelas pertengahan.
People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) berkata satu siasatan di rumah penyembelihan Kenya mendapati haiwan itu dipukul dengan kejam oleh pekerja atau mati di dalam trak ketika perjalanan jauh dari negara-negara berjiran.
“PETA mendesak Kenya menyertai banyak negara Afrika yang lain dalam mengharamkan penyembelihan keldai. Tidak perlu untuk kekejaman ini, dan perubatan itu tidak terbukti pun berkesan,” kata jurucakapnya Ashley Fruno.
China semakin giat menambah permintaan di Afrika bagi memenuhi permintaan itu kerana populasi keldai di China juga berkurangan separuh sejak beberapa tahun terakhir.
Beberapa negara Afrika mengharamkan eksport kulit keldai dan menutup rumah penyembelihan milik China, bermakna ribuan haiwan itu kini dibawa masuk dari negara seperti Ethiopia dan Uganda. – AFP, 17 Mei, 2019.
Komen