Indonesia buru ratusan banduan terlepas dari penjara


Melarikan diri dari penjara sering berlaku di Indonesia di mana banduan sering ditahan dalam keadaan penjara yang penuh dan tidak bersih. – Gambar AFP, 17 Mei, 2019.

SEKURANG-KURANGNYA 100 banduan kini dalam buruan selepas melarikan diri dari penjara, kata pihak berkuasa, susulan negara itu berdepan dengan insiden lari dari penjara besar-besaran, kali kedua dalam tempoh kurang seminggu.

Banduan yang melarikan diri semalam adalah pesalah narkotik di wilayah Sumatera Utara. Mereka memulakan kebakaran sebagai membalas aduan tentang layanan diberikan kepada banduan lain, kata pihak berkuasa.

“Mereka marah dan membakar motosikal pegawai penjara,” kata Solden, seorang penduduk tempatan.

Ratusan banduan pada mulanya terlepas dari pusat tahanan, tetapi kebanyakannya dapat ditahan semula tidak lama kemudian.

Sekurang-kurangnya 100 lagi masih melarikan diri.

“Mereka patut menyerah diri dan meneruskan hukuman,” kata Ketua Polis Sumatera Utara Agus Andrianto.

“Melarikan diri tidak selesaikan masalah, ia hanya tambah masalah,” katanya.

Lebih 100 banduan melarikan diri dari sebuah lagi penjara di Sumatera pada Sabtu lalu, susulan rusuhan tercetus selepas pengawal memukul beberapa banduan yang ditangkap sedang mengambil dadah jenis metamfetamin.

Tiga tahanan mengalami kecederaan ditikam dan seorang anggota polis ditembak ketika rusuhan.

Sebahagian banduan ditahan semula tetapi berpuluh-puluh lagi masih melarikan diri, kata pihak berkuasa.

Melarikan diri dari penjara sering berlaku di Indonesia di mana banduan sering ditahan dalam keadaan penjara yang penuh dan tidak bersih.

Berlaku beberapa insiden pada 2013, termasuk satu kes di mana kira-kira 150 banduan terlepas – termasuk pesalah keganasan. – AFP, 17 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen