PEMIMPIN-pemimpin agama dari agama Islam dan Kristian mengambil masa beberapa minit bertafakur untuk mengenang mangsa-mangsa serangan ganas di New Zealand dan Sri Lanka baru-baru ini dalam sebuah acara berbuka puasa di Petaling Jaya hari ini.
Jurucakap Global Unity Network (GUN) yang menjadi tuan rumah acara itu, Fared Hassan, memohon para hadirin untuk berdoa bagi mangsa dan mereka yang menjadi sasaran serangan ganas.
“Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan dua peristiwa yang sangat tragis, kita berdoa untuk mereka dan semua yang menjadi mangsa kezaliman,” kata Fared pada majlis yang diadakan di sebuah hotel di Damansara. Acara itu diadakan dengan kerjasama sebuah badan Kristian, Christians for Peace and Harmony in Malaysia (CPHM). .
Seorang lelaki bersenjata menyerang dua masjid di Christchurch pada 15 Mac, semasa solat Jumaat, membunuh 51 nyawa. Di Colombo pula, lapan pengebom bunuh diri mensasarkan gereja-gereja dan hotel pada 29 April, atau Hari Easter, sehingga menyebabkan 259 nyawa terbunuh.
Pimpinan agama di majlis itu berucap mengenai usaha mencari “titik temu” di antara dua agama terbesar di dunia tersebut.
“Kerjaya saya sebagai peguam memberi tumpuan kepada apa yang salah dan hodoh pada lawan klien saya,” kata Pengerusi CPHM, Lee Min Choon.
“Untuk tolak melihat kebaikan selalu menjadi kepentingan kita. Adakah kita melakukan perkara yang sama apabila kita melihat agama-agama lain?
“Jika kita ingin mencintai jiran kita, sebelum melakukan apa-apa, kita mesti melihat jiran kita dengan imaginasi dan mata kita, iaitu seperti artis, kita mesti melihat bukan hanya muka mereka tetapi kehidupan yang melatari wajah mereka itu.”
Presiden GUN Shah Kirit Kakulal Govindji menggesa hadirin untuk memberi tumpuan kepada “titik pertemuan.”
“Saya tidak akan mengatakan bahawa agama kita adalah sama, kita mempunyai perbezaan doktrin, tetapi biarlah kita menumpukan kepada persamaan… Marilah kita semua bersatu untuk menyembah Tuhan sahaja.
Shah Kirit, seorang Muslim, kemudian memetik Mark 12: 28-34 dari Alkitab sebagai contoh, di mana seorang lelaki bertanya kepada Jesus apa perintah terbesar.
“Sembahlah Tuhan dengan segenap jiwamu, fikiran dan kekuatanmu, dan apa perintah yang kedua? Kasihilah sesamamu seperti kamu mencintai diri sendiri?
“Bukankah begitu? Dan inilah yang Nabi Muhammad ajarkan kepada kita sebagai umat Islam.
“Muhammad berkata, imanmu tidak lengkap jika kamu tidak mengasihi saudara-saudaramu dan adik-beradik kamu serta jiran-jiran kamu seperti kamu mengasihi diri kamu sendiri.”
Turut hadir dalam acara berbuka puasa itu termasuk 50 imam dan wakil dari Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) , Jawatankuasa Penyelaras Bersekutu NGO Islam Malaysia (ACCIN), IKRAM dan Yayasan Penyebaran Islam Malaysia (Yadim).
Wakil-wakil dari masyarakat Buddha turut mengambil bahagian dalam acara berbuka puasa tersebut. Acara tersebut adalah kerjasama yang diadakan secara tahunan, dan acara hari ini adalah kerjasama ke-5 antara kedua-dua kumpulan.
Kegiatan tahun ini termasuk kuiz pop dengan menawarkan hadiah hamper, kuiz tersebut terdiri daripada soalan-soalan berkaitan kedua-dua agama itu, seperti mengenal pasti cuti Kristian atau menamakan bulan pertama tahun Hijriah. – 16 Mei, 2019.
Komen