Apabila KPN turun ke akar umbi


Alfian Z.M. Tahir

Selain daripada gambar-gambar lawatannya, satu lagi gambar yang tular memaparkan Hamid duduk dalam sebuah kereta peronda di sebelah pemandu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2019.

BELIAU muncul tanpa disedari di tiga balai polis dengan mengenakan pakaian biasa, tanpa rombongan besar malah tanpa Unit Tindakan Khas (UTK).

Pada perhentian pertama di stesen Damansara Utama, Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu dilantik Abdul Hamid Bador muncul dengan seluar jeans dan kemeja T menyebabkan seorang anggota polis tidak mengenalinya dan bertanya sama ada beliau mahu membuat laporan.

Hamid yang mengambil alih jawatan KPN hampir sebulan lalu, melawat balai polis Damansara Utama pada hari Sabtu, dan balai polis Bidor di Perak dan Taman Melawati di Selangor pada hari Ahad.

Anggota polis, yang tidak pernah mengalami pengalaman seperti itu sebelum ini, memaparkan gambar-gambar lawatan KPN ke media sosial yang kini menjadi tular.

Ramai pengguna media sosial memuji Hamid berikutan pendekatannya yang dilihat merendah diri.

Pengguna Facebook, Hilbert Montell berkata: “Ini baru KPN, terbaik bossku.” 

Seorang lagi berkata: “Kita diberkati kerana mempunyai KPN seperti Hamid. Selamat maju jaya tuan.”

Hamid memberitahu The Malaysian Insight lawatan itu semata-mata untuk mendengar secara langsung apa-apa permasalahan dari kakitangannya, di samping turut menambah beliau akan terus berbuat demikian jika mempunyai peluang.

“Ia tidak dirancang. Saya akan ambil peluang itu, untuk melawat ke lebih banyak balai polis yang saya mampu. “

“Jika saya berada di kawasan di mana terdapat balai polis atau ibu pejabat polis, saya akan turun melawat,” kata Hamid kepada The Malaysian Insight.

Hamid berkata dengan melawat kakitangan polis tanpa notis, dia akan mendapat maklumbalas yang tidak difailkan daripada mereka

“Saya memberitahu mereka saya perlu dengar daripada mereka apa yang mereka sedang lakukan dan demi menjelaskan kepada mereka apa yang sedang berjalan berkenaan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah laku Polis (IPCMC).

“Saya memerlukan hujah untuk yakinkan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan bahawa pihak polis memerlukan bajet tambahan untuk memperbaiki berek yang sudah daif dan memperbaiki keadaan mereka,” katanya.

Ketua Polis Daerah Tapah Wan Azharudin Wan Ismail berkata beliau terkejut dengan lawatan itu dan mengatakan Hamid bertanya tentang keadaan berek lama di Bidor.

“Saya terkejut. Tidak biasa bagi polis atasan, apalagi KPN datang dan melawat kami tanpa notis terlebih dulu.

“Dia datang untuk melihat sendiri keadaan berek dan kemudian dia arahkan kontinjen polis negeri untuk jalankan pembaikan.

“Dia beri jaminan kepada kita bahawa kesejahteraan kita akan dijaga,” kata Wan Azharudin.

Pegawai dari Balai Polis Damansara Utama juga memberitahu The Malaysian Insight bahawa Hamid melawat untuk memeriksa kesejahteraan kakitangan dan keadaan berek mereka.

Beliau menyifatkan bosnya sebagai seorang lelaki yang lembut lembut dengan sikap yang sangat rendah hati dan mahu memahami nasib kakitangannya.

“Saya fikir dia ada di sana untuk buat laporan polis sehingga saya sedar bahawa dia adalah KPN.

“Pendekatannya sangat rendah hati dan dia faham penderitaan kita. Beliau memberi kami kata-kata semangat untuk menjalankan tugas kami secara profesional.

“Walaupun kami adalah anggota polis yang berpangkat rendah, cara dia bercakap dengan kami buat kami rasa dihargai. Saya rasa seseorang akhirnya memahami apa yang saya rasakan.

“Lagipun, berapa ramai polis atasa yang anda lihat melawat balai hanya untuk melihat apa yang dia suka di sini.

“Saya tidak fikir ia pernah berlaku, terutamanya oleh KPN. Lawatan rasmi, mungkin ya, tetapi lawatan seperti ini, tak pernah,” kata seorang pegawai berpangkat lans koperal yang tidak mahu dinamakan.

Selain daripada gambar lawatannya, satu lagi gambar yang tular semalam memaparkan Hamid duduk dalam sebuah kereta rondaan di sebelah pemandu.

Dikatakan, tayar kereta rasmi Hamid pancit dan kereta peronda datang untuk menjemputnya. Beliau bagaimanapun, enggan duduk di bahagian belakang.

Hamid, anak lelaki Bador Ijoh, merupakan seorang konstabel polis, beliau sememangnya berpengalaman menjalani kehidupan sebagai anak pegawai polis berpangkat rendah.

Beliau dibesarkan di beberapa berek termasuk berek polis Pudu di Kuala Lumpur, Serendah di Rawang, Jerantut di Pahang dan Tampin di Negeri Sembilan.

Hamid menyertai pasukan polis pada November 1979 dan ditugaskan dalam unit Cawangan Khas di ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman dari tahun 1980 hingga 1996.

Beliau juga pernah menduduki jawatan Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak pada tahun 1999 sebelum kembali ke Cawangan Khas pada tahun 2001.

Pada tahun 2005, Hamid dilantik sebagai ketua polis Cawangan Khas Kelantan dan pada tahun berikutnya beliau dipindahkan ke Sabah sebagai bagi mengetuai cawangan khas negeri sebelum beliau dinaikkan pangkat sebagai timbalan pengarah Cawangan Khas 1 pada 2009. – 17 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen