Ujian mengenai kematian Adib bukan dibuat secara buta tuli, kata pakar forensik


Noel Achariam

Pakar forensik Dr Ahmad Hafizam Hasmi tetap mempertahankan laporan pemeriksaannya serta laporan yang dibuat selepas bedah siasat, menunjukkan tiada kesan cedera pada muka Muhammad Adib Mohd Kassim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2019.

PAKAR forensik Dr Ahmad Hafizam Hasmi hari ini memberitahu inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim bahawa eksperimen-eksperimen yang dijalankan untuk memastikan punca kematian tidak dilakukan dengan buta tuli tetapi mengikut prosedur.

Ahli patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu berkata berdasarkan bukti yang diperolehi daripada bedah siasat dan eksperimen, wujud kemungkinan bahawa kecederaan Adib berpunca daripada terjatuh semasa rusuhan di kuil Seafield Sri Maha Mariamman November tahun lalu.

“Kami memberi maklumat berdasarkan bedah siasat kami.

“Mahkamah perlu memahami bahawa bedah siasat dilakukan selepas 21 hari kejadian itu berlaku,” kata Hafizam kepada mahkamah koroner di Shah Alam hari ini.

Adib cedera dalam rusuhan pada 27 November dan meninggal dunia pada 17 Disember di Institut Jantung Negara.

Hafizam, yang tidak bersetuju dengan keterangan ahli pakar forensik lain bahawa Adib ditarik keluar dari van dan dipukul, yang sebelum ini dipersoalkan oleh peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Syazlin Mansor hari ini.

Syazlin bertanya kepada Hafizam untuk menjelaskan laporannya bahawa kecederaan Adib mungkin disebabkan oleh terjatuh.

“Selepas melihat kecederaan pada dadanya, adakah anda mengetepikan fakta bahawa dia jatuh di tepi jalan?” Syazlin bertanya.

Syazlin kemudian bertanya sama ada lakonan semula Adib yang jatuh di tepi jalan itu telah dilakukan dalam pelbagai posisi lain dan sama ada keputusan itu akan mengembalikan keputusan yang sama yang menyebabkan kecederaan anggota bomba itu jatuh di tepi jalan.

“Dalam laporan anda ia mengatakan bahawa ada kemungkinan bahawa pola kecederaan Adib adalah akibat jatuh ke bawah. Kenapa anda memilih (jatuh di) tepi jalan sebagai salah satu kemungkinan sedangkan anda tidak yakin?” tanya Syazlin. 

Hafizam berkata bahawa terdapat “1,001 cara” Adib boleh jatuh.

Beliau menambah bahawa terdapat pembolehubah lain pada waktu kejadian kerana terdapat kereta di sekitar kawasan itu dan wujud objek-objek lain di atas tanah.

“Ini hanya satu daripada kemungkinan-kemungkinan yang ada.

“Saya hanya boleh mengatakan bahawa apa yang berlaku ialah dia mungkin terlanggar pintu (kenderaannya) dan jatuh ke permukaan yang keras, luas, tumpul, dan kasar.”

Inkues yang bermula pada 11 Februari, tertumpu pada persoalan bagaimana Adib menerima kecederaan yang menyebabkan kematiannya. Dia mengalami patah tulang rusuk yang menikam bahagian organ paru-parunya.

Pakar-pakar perubatan yang memberi keterangan setakat ini memberi pendapat yang berbeza bagaimana kecederaan itu berlaku.

Inkues akan bersambung esok. – 16 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen