POLIS diminta untuk mengetatkan siasatan mereka terhadap pendakwah bebas Muhammad Zamri Vinoth Abdullah sebelum apa-apa tindakan diambil terhadapnya kerana didakwa menghina agama Hindu.
Ketua Komunikasi Korporat Ketua Setiausaha Polis Bukit Aman (Sekretariat) Asmawati Ahmad berkata, Pejabat Peguam Negara juga telah memulangkan semula kertas siasatan.
Asmawati memberitahu The Malaysian Insight bahawa Pejabat Peguam Negara telah menyerahkan kertas siasatan kepada polis dan meminta mereka mencatatkan lebih banyak kenyataan daripada saksi berkemungkinan.
“Terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan oleh polis seperti yang dicadangkan oleh Pejabat Peguam Negara.
“Kertas siasatan diserahkan kembali kerana kami perlu mengetatkan siasatan berkenaan hal ini,” katanya.
Zamri berusia 35 tahun ditahan pada akhir April lalu selepas 800 laporan polis dibuat terhadapnya. Dia dibebaskan selepas direman selama empat hari.
Beliau kini disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggugat keharmonian dan menghantar komunikasi yang menghina.
Muhammad Zamri didakwa menghina agama Hindu ketika menyampaikan ceramah agama. Sebuah organisasi dari Kelantan, Info Sunnah menyebarkan video ucapannya di media sosial.
Muhammad Zamri yang juga ketua organisasi dakwah Islam One Centre Malaysia ditahan di Kangar sebelum dibawa ke Bukit Aman.
Muhammad Zamri sebelum ini dilaporkan pernah disiasat atas tiga kes jenayah, yang mana dua daripadanya adalah kesalahan serius.
Beliau sebelum ini ditahan kerana sengaja mendatangkan kecederaan, rogol dan pecah amanah. – 16 Mei, 2019
Komen