PAKAR forensik Dr Ahmad Hafizam Hasmi hari ini mempertahankan keterangannya bahawa anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim tidak ditarik keluar daripada kenderaan Perkhidmatan dan Penyelamat Kecemasan Perubatan (EMRS) oleh perusuh dalam rusuhan kuil Seafield November lepas.
Pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu berkata sekiranya Adib dipukul, beliau pastinya melindungi diri daripada penyerangnya.
Tetapi tiada bukti menunjukkan Adib mempertahankan dirinya berdasarkan keterangan saksi lain dan laporan bedah siasat, tambahnya.
Beliau memberitahu Mahkamah Koroner yang “naluri manusia” untuk seseorang bertindak mempertahankan diri sekiranya dipukul.
“Jika ada orang dayang kepada Adib, dia pasti tahu (akan diserang) dan akan cuba lindungi diri.
“Malah mungkin dia akan beri beberapa tumbukan juga,” katanya di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Hafizam berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Syazlin Mansor yang memintanya menjelaskan kesimpulan laporan dibuatnya.
Dalam laporan tersebut, Hafizam menyimpulkan Adib mungkin keluar daripada kenderaan atau mungkin ditarik keluar.
Jelasnya, berdasarkan keterangan saksi dan eksprerimen dilakukan, didapati Adib tidak ditarik keluar.
Kesimpulan awal itu dibuat berdasarkan bukti diserahkan kepadanya ketika itu, tambahnya.
“Tidak ada saksi yang beritahu mahkamah mereka lihat dia ditarik keluar.
“Tidak ada bukti atau penjelasan menunjukkan dia ditarik keluar.
“Bedah siasat dan eksperimen menunjukkan dia tidak ditarik keluar.”
Adib, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya cedera parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November 2018. Beliau kemudiannya meninggal dunia pada 17 Disember tahun lepas ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN). – 16 Mei, 2019.
Komen