KEMENTERIAN Pendidikan sedang merangka insentif untuk guru yang mahu menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan Kedoktoran (PhD).
Menteri Maszlee Malik berkata beliau akan membincangkan perkara itu dengan Jabatan Perkhidmatan Awam.
“Kami berharap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga boleh bantu perkara ini,” katanya dalam ucapan semasa perasmian sambutan Hari Guru Kebangsaan ke-48 di Pulau Pinang hari ini.
Maszlee juga menyenaraikan beberapa inisiatif diperkenalkan kementerian untuk meningkatkan kualiti hidup guru.
Antara lainnya adalah peruntukan sebanyak RM35.2 juta untuk menggaji guru ganti bagi mengganti guru yang bercuti bersalin atau sakit melebihi 28 hari. Peruntukan itu sudah disalurkan kepada Jabatan Pendidikan negeri.
Tambah Maszlee lagi, kerajaan juga sedang meneliti cadangan menyediakan liputan insurans kepada guru.
“SOP keselamatan guru sedang disemak dan akan dilaksanakan, dengan liputan insurans antara inisiatif yang sedang diteliti.
“Kami harap ini akan memberikan kelegaan kepada guru. Ia isu yang lama untuk guru, yang kadang-kadang perlu membawa pelajar keluar sekolah (untuk aktiviti) dan guna kenderaan sendiri.”
Maszlee juga menjelaskan yang inisiatif jangka panjang lain melibatkan isu rumit dan memerlukan semakan semula dasar dan peraturan sedia ada, tambah baik kemudahan dan mengoptimumkan tenaga kerja di sekolah. – 16 Mei, 2019.
Komen