SEORANG ahli Parlimen Austria dari parti bebas, memakai tudung semasa berucap di perhimpunan agung pada Rabu, sebagai membantah larangan bertudung di sekolah rendah di negara itu, lapor agensi berita Anadolu.
Larangan bertudung dalam kehidupan seharian pertama kali diperkenalkan negara itu, kata Martha Bissman.
Beliau berkata pada dekad lalu, perkauman dan Islamophobia meningkat disebabkan oleh parti berhaluan kanan Parti Kebebasan (FPO).
Katanya, mereka yang memperkenalkan larangan itu seolah mahu menghapuskan “nilai toleransi dan kebebasan beragama”.
Kerajaan Austria berhaluan kanan, diketuai Canselor Sebastian Kurz, pemimpin termuda di Eropah, memperkenalkan deraf akhir undang-undang itu akhir tahun lalu di parlimen, merancang untuk melaksanakannya, meskipun tidak menerima sokongan pembangkang.
Deraf undang-undang itu melarang pemakaian tudung kepada mereka di bawah umur 10 tahun di semua sekolah rendah, termasuk sekolah swasta di seluruh negara.
Larangan terbabit mencetuskan bantahan oleh sebilangan besar pertubuhan bukan kerajaan, wartawan dan aktivis serta masyarakat Islam di Austria.
Austria dihuni kira-kira 700,000 umat Islam, termasuk 300,000 berasal dari Turki. Kebanyakan generasi kedua dan ketiga rakyat Austria berasal dari keluarga Turki yang berhijrah ke negara ini pada 1960-an.
Di tengah-tengah ketakutan yang meluas disebabkan krisis pelarian dan keganasan antarabangsa, parti sayap kanan Austria mencadangkan beberapa langkah kontroversi termasuk kawalan ketat terhadap masjid dan persatuan Islam.
Pada Oktober 2017, Austria mengenakan larangan berniqab di semua tempat awam, termasuk di dalam kemudahan pengangkutan. – Bernama, 16 Mei, 2019.
Komen