Trump isytihar darurat halang syarikat AS guna teknologi komunikasi asing


Donald Trump mengisytiharkan darurat menghalang syarikat AS menggunakan dan membeli peralatan telekomunikasi asing, tindakan yang dilihat untuk memberi tekanan kepada Huawei. – Gambar AFP, 16 Mei, 2019.

PRESIDEN Donald Trump mengisytiharkan darurat nasional semalam melarang syarikat AS menggunakan peralatan komunikasi dikeluarkan syarikat asing yang dianggap mendatangkan risiko keselamatan- tindakan yang dilihat disasarkan kepada gergasi China, Huawei.

Arahan ditandatangani Trump itu melarang pembelian atau penggunaan peralatan daripada syarikat yang mendatangkan “risiko tidak boleh diterima kepada keselamatan AS atau keselamatan warga AS.”

“Pentadbiran akan bertindak untuk memastikan keselamatan Amerika dan kemakmuran serta melindungi Amerika daripada musuh asing,” kata jurucakap White House Sarah Sanders.

Seorang lagi pegawai kanan White House menegaskan tindakan itu tidak ditujukan kepada mana-mana negara atau syarikat.

Bagaimanapun, langkah itu- diumumkan ketika perang perdagangan AS-China semakin memuncak- dianggap banyak pihak sebagai cubaan mengukuhkan dakwaan risikan dilakukan Huawei.

AS sedang memujuk sekutu mereka untuk tidak membenarkan China memainkan peranan dalam pembinaan rangkaian 5G, memberi amaran ia boleh menyebabkan sekatan perkongsian maklumat dengan AS.

Agensi kerajaan AS sudah diharamkan daripada membeli peralatan daripada Huawei, yang dianggap peneraju teknologi 5G.

Langkah itu mendatangkan kemarahan China.

“Sejak sekian lama, AS menyalahguna kuasa negara untuk sengaja menindas dan menekan dalam apa juga kaedah perusahaan tertentu China, yang bukan sahaja tidak bermaruah tetapi juga tidak adil,” kata jurucakap Kementerian Luar China.

“Kami menggesa AS menghentikan sebarang tekanan tidak rasional ke atas perusahaan China atas alasan keselamatan negara dan menyediakan persekitaran perniagaan yang adil dan tidak berdiskriminasi,” kata jurucakap itu lagi. – AFP, 16 Mei, 2019.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen