Mexico keluarkan amaran ke-2 pencemaran udara teruk


Ibu kota itu yang menjadi tempat tinggal lebih 20 juta orang diseliputi jerebu tebal sejak Sabtu lalu. – Gambar AFP, 16 Mei, 2019.

BANDAR Mexico mengeluarkan amaran pencemaran udara buat hari kedua berturut-turut hari ini, menggesa penduduk tidak keluar rumah, membatalkan sesi persekolahan dan memindahkan tempat perlawanan separuh akhir pertama liga bola sepak ke bandar lain.

Ibu kota itu yang menjadi tempat tinggal lebih 20 juta orang diseliputi jerebu tebal sejak Sabtu lalu.

Pihak berkuasa berkata puncanya adalah kebakaran hutan yang berlaku bulan ini di pinggir bandar, ditambah dengan cuaca panas dan kering menyebabkan pencemaran udara terus berlaku.

“Tahap pencemaran masih tinggi, dan ramalan kaji cuaca menunjukkan keadaan untuk mengurangkan unsur pencemaran masih tidak wujud,” kata Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan mengumumkan pembatalan semua sesi persekolahan rendah dan menengah pada Khamis lalu.

Pusat jagaan harian kanak-kanak juga diarah tutup, katanya lagi.

Universiti terbesar negara itu, UNAM serta Institut Politeknik Nasional juga membatalkan kelas.

Liga Bola Sepak Mexico pula bertindak atas nasihat pihak berkuasa, memutuskan untuk memindahkan tempat pertandingan separuh akhir antara Leon dan Mexico City ke bandar Queretaro, hampir 200 kilometer ke utara negara itu.

Ia sudah menangguhkan perlawanan itu daripada Rabu kepada Khamis kerana pencemaran. Perlawanan besbol juga ditangguh.

Pihak berkuasa juga menasihati penduduk untuk mengelak mengadakan aktiviti luar dan menggesa orang tua dan mereka yang ada masalah pernafasan tidak keluar rumah.

Beberapa taman awam yang jadi tumpuan penduduk ditutup, termasuklah yang terbesar di bandar itu, Bosque de Chapultepec.

Mereka juga mengarahkan kereta dengan nombor lesen tertentu tidak berada di jalan, menutup kawasan pembinaan lebih daripada 55,000 kaki persegi dan mengarahkan industri mengurangkan kadar pelepasan sisa udara antara 30 hingga 40%.

Datuk Bandar Claudia Sheinbaum berkata anggota bomba sedang giat memadamkan 22 kebakaran sejak Rabu lalu, enam daripadanya masih marak.

Bandar Mexico terdedah kepada pencemaran udara teruk kerana kedudukannya di lembah antara gunung ganang menyebabkan udara tercemar tidak bergerak.

Industri mencemarkan dan jumlah kereta lebih lima juta buah juga memburukkan keadaan. – AFP, 16 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen