California sahkan kebakaran hutan berpunca dari talian elektrik 


Kebakaran yang digelar Camp Fire itu mengorbankan 85 nyawa pada November dan memusnahkan lebih 60,000 hektar tanah serta hampir 19,000 rumah dan struktur lain. – Gambar EPA, 16 Mei, 2019

TALIAN elektrik menjadi punca kebakaran terburuk dalam sejarah California, menurut bomba pada Rabu.

Tragedi kebakaran yang digelar Camp Fire itu mengorbankan 85 nyawa pada November dan memusnahkan lebih 60,000 hektar tanah serta hampir 19,000 rumah dan struktur lain. Kebakaran itu turut memusnahkan pekan kecil Paradise. 

Syarikat Pacific Gas and Electric (PG&E) mengakui kebakaran itu berpunca daripada peralatannya. Agensi perlindungan kebakaran Cal Fire mengumumkan secara rasmi pada Rabu, selepas membuat kesimpulan menerusi siasatan yang menyeluruh.

Keadaan tumbuhan yang kering, angin kuat, suhu yang tinggi serta kadar kelembapan yang rendah mencetuskan kebakaran itu dan menyebabkan ia merebak dengan pantas, menurut agensi berkenaan.

Kebakaran kedua juga dicetuskan oleh talian elektrik PG&E, kata Cal Fire.

Laporan penuh itu bagaimanapun tidak didedahkan kepada umum, tetapi ia dimajukan kepada pendakwa raya di Butter County, yang akan memutuskan sama ada akan memulakan tindakan mahkamah susulan kebakaran itu. 

Laporan itu mungkin akan membawa kepada pendakwaan terhadap PG&E, yang sudah disaman oleh banyak pihak yang kehilangan tempat tinggal dan perniagaan serta syarikat insurans dan persatuan sivik. 

Mereka mendakwa kecuaian syarikat terbabit dalam menguruskan kemudahan itu menjadi punca kepada bencana berkenaan. – AFP, 16 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen