Majlis Keselamatan PBB sedia bincang isu barat laut Syria 


Majlis Keselamatan PBB menyatakan kebimbangan mereka mengenai potensi bencana kemanusiaan daripada serangan itu.– Gambar EPA, 16 Mei, 2019

BELGIUM, Jerman dan Kuwait menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu pertempuran di barat laut Syria. 

Pasukan tentera Syria dan sekutunya Rusia meningkatkan serangan terhadap kumpulan pemberontak yang menguasai Idlib sejak akhir April lalu, meningkatkan amaran bahawa serangan penuh akan segera merampas wilayah itu. 

Mesyuarat umum yang dijangka diadakan minggu ini, susulan mesyuarat tertutup majlis berkenaan pada Jumaat yang mana beberapa negara menyatakan kebimbangan mereka mengenai potensi bencana kemanusiaan daripada serangan itu. 
 
Belgium, Jerman dan Kuwait, yang merupakan bukan ahli tetap majlis berkenaan, mengetuai usaha untuk membangkitkan mengenai krisis kemanusiaan di Syria, yang terbabit dalam kancah peperangan sejak 9 tahun lalu.

Lebih 180,000 dipindahkan berikutan kekejaman terbaharu, menurut PBB, manakala menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, 119 orang awam terbunuh dalam serangan bom sejak April lalu.

Peperangan di Syria mengorbankan lebih 370,000 orang dan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal sejak keganasan tercetus dalam bantahan anti-kerajaan pada 2011. – AFP, 16 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen