Penumpang kelas pertama, perniagaan akan bayar levi pelepasan lebih tinggi


Khoo Gek San

PENUMPANG penerbangan kelas pertama dan perniagaan akan membayar levi pelepasan lebih tinggi tidak lama lagi kerana Putrajaya sedang melihat kadar baru untuk membolehkan golongan kaya memberi subsidi kepada golongan miskin bagi perjalanan udara, kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Di bawah pelan baharu ini, penumpang kelas pertama dan perniagaan akan membayar sehingga RM150 bagi levi pelepasan berbanding RM20 bagi penumpang ekonomi.

“Levi baharu yang dijangka akan diperkenalkan pada September sementara menunggu kelulusan Kabinet itu, mempunyai kadar berbeza bagi membolehkan orang kaya menampung orang miskin,” sumber memberitahu The Malaysian Insight.

Menurut mereka, kadar caj levi akan bergantung kepada tempat duduk dan destinasi penumpang.

Penumpang yang berlepas ke negara-negara Asia Tenggara dengan tiket kelas pertama atau perniagaan akan dikenakan bayaran RM50 manakala RM8 bagi penumpang ekonomi.

Bagi penumpang kelas pertama atau perniagaan ke destinasi selain Asia Tenggara, mereka akan dikenakan bayaran RM150. Penumpang kelas ekonomi pula perlu membayar RM20.

The Malaysian Insight juga difahamkan yang caj levi dimasukkan sekali ke dalam tambang tiket di mana syarikat penerbangan mengutip levi bagi pihak kerajaan melalui pembelian tiket.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 2 November lalu mengumumkan levi tersebut akan dilaksanakan pada 1 Jun. Lim berkata penumpang yang berlepas ke negara-negara Asia Tenggara akan dikenakan dicaj RM20 manakala RM40 bagi negara lain.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 2 November lalu mengumumkan levi pelepasan akan dilaksanakan pada 1 Jun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2019.

Bagaimanapun, sumber berkata kerajaan terpaksa mempertimbangkan semula kadar tersebut supaya penumpang kelas pertama dan kelas perniagaan dapat mengurangkan beban penumpang kelas ekonomi. Ini juga kerana kebanyakan penumpang menggunakan penerbangan kelas ekonomi.

Tambahan pula, mereka yang melancong ke negara selain Asia Tenggara mungkin mampu membayar cukai tambahan, tambah sumber itu lagi.

Bulan lalu, Kementerian Kewangan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) untuk memperkenalkan Levi Pelepasan di Parlimen tetapi tidak menyebut caj-caj berkenaan. Bagaimanapun, RUU itu menyatakan menteri kewangan mempunyai kuasa untuk mewarta jumlah yang dikenakan.

RUU itu juga termasuk peruntukan hukuman bagi mereka yang tidak membayar levi pelepasan. Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Perniagaan yang didapati bersalah tidak membayar levi pelepasan akan dikenakan denda sehingga RM1 juta atau hukuman penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Di bawah Seksyen 38 (3) dan 38 (4) RUU tersebut, mereka yang didapati memalsukan resit cukai, membuat laporan palsu atau menipu boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara setahun, atau kedua-duanya sekali.

Sumber turut berkata levi pelepasan tidak dikenakan kepada kanak-kanak di bawah usia dua tahun, anak kapal, penerbangan persendirian dan penerbangan transit. Pengangkutan darat dan laut juga dikecualikan daripada levi ini. – 16 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen