PANEL enam anggota Mahkamah Keadilan Atasan Brazil membenarkan bekas presiden Michel Temer dibebaskan buat sementara waktu sementara menunggu perbicaraan kes rasuahnya berlangsung, lapor agensi berita China Xinhua.
Bekas presiden itu telah dipenjarakan pada Khamis di bawah perintah tahanan pencegahan, yang merupakan instrumen undang-undang Brazilian bagi memastikan seseorang tertuduh ditangkap sebelum perbicaraan bagi memelihara bukti, mengelak ancaman terhadap saksi dan mengelak kesinambungan sesuatu jenayah.
Bagaimanapun, Mahkamah Keadilan Atasan secara sebulat suara memutuskan bahawa tiada justifikasi bagi penahanan pencegahan dan Temer berhak bebas sementara menunggu perbicaraan.
Keputusan mahkamah turut terpakai kepada Kolonel Joao Batista Lima, rakan Temer yang turut didakwa dalam proses yang sama. Kedua-duanya perlu dibebaskan sebaik sahaja penyataan rasmi itu tiba di unit tahanan mereka.
Bekas presiden itu didakwa mengetuai skim rasuah yang berlanjutan selama beberapa tahun berkaitan pembinaan loji tenaga nuklear Angra 3 di Angra dos Reis dalam negeri Rio de Janeiro.
Menurut pejabat pendakwaan, Temer dan sekutunya, yang menyaksikan Kolonel Lima sebagai tokoh terkemuka, telah menyeleweng berjuta-juta wang daripada kerajaan, melakukan penipuan dalam kontrak kerajaan dengan sebuah syarikat pembinaan, menerima suapan yang besar dan terlibat dalam pengubahan wang haram.
Meskipun Temer dan Lima diberikan habeas corpus, mereka perlu mematuhi beberapa peraturan antaranya, mereka tidak dibenarkan menukar alamat, keluar negara dan mempunyai sebarang hubungan dengan orang atau organisasi lain yang sedang disiasat.
Sementara itu, mereka perlu menyerahkan pasport mereka kepada pihak berkuasa, dan Temer dilarang memegang sebarang jawatan politik termasuk kepimpinan dalam partinya. – Bernama, 15 Mei, 2019.
Komen