PAKAR forensik Dr Ahmad Hafizam Hasmi hari ini memberitahu Mahkamah Koroner beliau tidak dapat menentukan objek yang boleh menyebabkan kecederaan kepada anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
Pakar patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu memberitahu mahkamah, adakalanya pakar seperti beliau tidak dapat mentafsirkan bukti disebabkan tiada saksi.
“Kecederaan yang saya nampak pada Adib adalah lebam, tetapi saya tak dapat kaitkan dengan objek tertentu.
“Berdasarkan kepada eksperiman saya dan satu lagi eksperimen yang dijalankan oleh Prof Dr Shahrom Abd Wahid, kecederaan Adib tidak mengkhusus disebabkan pintu kiri van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.
Hafizam disoal balas oleh peguam keluarga Adib, Kamaruzaman A. Wahab yang bertanyakan tentang lebam di badan Adib.
Beliau yang melakukan bedah siasat ke atas Adib berkata tiada lebam yang ditemui ketika prosedur itu dijalankan.
“Lebam intradermis hanya akan nampak beberapa hari selepas kejadian.
“Saya hanya boleh kata yang ia boleh berlaku ketika dia melanggar pintu dan jatuh dengan kuat di atas permukaan keras, luas, tumpul dan kasar.
“Kesan lebam konsisten dengan dia jatuh di bahagian depan, bukan belakang.”
Kamaruzaman kemudian bertanyakan mengenai rumusan laporan Hafizam iaitu sama ada Adib mungkin keluar sendiri dari van atau mungkin ditarik keluar.
“Adakah kamu kekal dengan laporan kamu bahawa dia keluar sendiri atau ditarik keluar?”
Hafizam berkata berdasarkan keterangan dan eksperimen yang dijalankan, ia menunjukkan bahawa Adib bukan ditarik keluar dari van.
“Mangsa keluar sendiri dari van EMRS dan ini berdasarkan keterangan saksi dan bukti lanjut (eksperimen).
“Tiada bukti menunjukkan yang dia ditarik keluar.” – 15 Mei, 2019.
Komen