PENGARAH Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi yang beliau tidak tahu bahawa Najib Razak adalah penerima bayaran RM42 juta.
Dr Shamsul Anwar Sulaiman menambah, beliau sudah tentu tidak akan meluluskan pindahan wang tersebut jika tahu ia akan dimasukkan ke akaun bekas perdana menteri itu pada Disember 2014 dan Februari 2015.
Ihsan Perdana adalah unit program tanggungjawab sosial korporat bagi SRC International. Ia menyalurkan RM42 juta yang diterima daripada SRC International ke dalam akaun di AmBank.
“Saya sahkan yang saya tidak tahu pemilik akaun AmPrivate Banking-1MY nombor 212-202-20188-0,” Shamsul memberitahu Mahkamah Tinggi Ku ala Lumpur hari ini.
“Saya sahkan bahawa jika saya tahu akaun (berakhir 880) itu milik Datuk Seri Najib Razak, saya tidak akan meluluskan transaksi RM27 juta,” katanya, merujuk kepada transaksi pada 26 Disember 2014.
Shamsul, yang berada dalam lembaga pengarah Ihsan Perdana sejak 2011 juga berkata Najib tidak pernah menghubunginya mengenai pembayaran RM27 itu.
Beliau berkata sebelum ini pernah meminta Eksekutif Kanan Akaun Aishah Ghazali untuk mengesahkan identiti pemilik akaun penerima.
Aishah memberitahunya yang bank tidak dibenarkan untuk mendedahkan pemilik akaun tersebut.
Shamsul berkata beliau juga meminta Pengarah Kewangan Ihsan Perdana Abdul Aziz Ismail mendapatkan butiran siapakah pemilik akaun itu.
“Bagaimanapun, beliau tidak memberitahu saya apa-apa,” katanya ketika disoal balas pendakwa. – 15 Mei, 2019.
Komen