Tarikh penyerahan jawatan PM masih dibincangkan, kata Anwar


Ragananthini Vethasalam

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, perbincangan dengan Dr Mahathir Mohamad berkenaan tarikh penyerahan jawatan perdana menteri berjalan lancar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 15 Mei, 2019.

PERBINCANGAN dengan Dr Mahathir Mohamad berkenaan tarikh penyerahan jawatan perdana menteri berjalan lancar, kata Anwar Ibrahim hari ini.

Presiden PKR berkata, Dr Mahathir akan terus memainkan peranan penting sebagai negarawan walaupun selepas kepimpinan berubah.

“Walaupun saya mengambil alih kepimpinan, Dr Mahathir masih memainkan peranan sebagai negarawan yang banyak memberi sumbangan kepada negara.

“Oleh itu, saya tidak melihat apa-apa masalah berhubung hal ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Belia Kebangsaan 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Baru-baru ini perdana menteri berkata, Anwar akan menjadi penggantinya seperti yang dijanjikan.

“Itu pasti,” katanya. 

Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau tidak ada masalaha menunggu kerana Dr Mahathir mempunyai peranan tersendiri.

“Untuk tarikh dan lain-lain, biarkan ia dibincangkan di antara kami…kerana ia sedang dibincangkan.

“Saya tak ada masalah (menunggu) kerana Dr Mahathir mempunyai peranan tersendiri dan harus diberi ruang memenuhi tanggungjawabnya,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai perasaannya selepas setahun dibebaskan dari penjara Anwar berkata, beliau bersyukur kerana sudah setahun berlalu sejak pembebasannya.

“Oh, sudah setahun! Saya bersyukur kerana sudah bebas dan setahun sudah berlalu,” katanya.

Menurutnya, beliau menghabiskan waktunya dengan bertemu orang, kawan-kawan lama, pemimpin akar umbi, NGO dan aktivis.

Anwar dibebaskan pada 16 Mei 2018 selepas menerima pengampunan diraja. Beliau menjalani hukuman penjara selama lima tahun atas kesalahan meliwat.

Terdapat perjanjian dalam Pakatan Harapan bahawa Anwar akan menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri akan datang. – 15 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen