PROSES pelaksanaan perjanjian bagi pembelian sistem pertahanan peluru berpandu Rusia S-400 dengan Turki tetap berjalan lancar meskipun menerima tekanan Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Anadolu.
Bercakap pada sidang akhbar di bandar peranginan selatan Sochi, Pembantu Presiden Rusia Yury Ushakov berkata Moscow maklum mengenai usaha AS memujuk Turki untuk menangguhkan perjanjian itu.
“Kita tahu apa yang dimahukan Amerika, tetapi pelaksanaan perjanjian yang telah dicapai beberapa bulan lalu tetap dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata semasa pertemuan antara Presiden Rusia, Vladimir Putin, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo mencadangkan diadakan pertemuan antara presiden Rusia-AS di luar sidang kemuncak G-20 di Osaka, Jepun pada penghujung Jun nanti.
“Secara umum kami turut berbincang mengenai kemungkinan pertemuan antara presiden Rusia dan AS di luar sidang kemuncak G20 di Jepun. Kami terbuka untuk apa jua perbincangan dan menunggu butiran lanjut mengenai cadangan itu,” kata Ushakov.
Ushakov berkata, Putin dan Pompeo juga membincangkan situasi di Afghanistan, memuji interaksi antara kedua-dua pihak mengenai isu itu.
“Presiden kami menyatakan bahawa proses penyelesaian di Afghanistan agak sukar dan kedudukan Taliban semakin kuat. Kita perlu berinteraksi dengan lebih aktif untuk mencapai keseimbangan kuasa di negara ini,” katanya.
Pompeo tiba di Sochi pada Selasa untuk bertemu rakan sejawatannya, Sergey Lavrov selain mengadakan perbincangan dengan Putin. – Bernama, 15 Mei, 2019.
Komen