PULUHAN pelarian muslim Rohingya ditahan di Bangladesh sementara menunggu untuk diperdagangkan ke Malaysia, lapor agensi berita Anadolu memetik seorang pegawai polis pada Selasa.
Polis menahan 81 muslim Rohingya yang berkumpul di pantai Cox’s Bazar antara Sabtu dan Isnin malam.
“Pada Isnin malam, polis menahan 23 pelarian termasuk 17 wanita dan dua kanak-kanak yang dibawa dari kem pelarian untuk dihantar ke Malaysia secara haram,” kata pegawai polis Ukhia Abul Khair.
Menurut pelarian yang ditahan itu, “beberapa ahli keluarga mereka tinggal di Malaysia, dan mahu ke Malaysia untuk bertemu dengan mereka.”
Kesemua yang ditahan dihantar semula ke kem pelarian dan polis sedang mencari dalang sindiket pemerdagangan orang terbabit.
Awal Sabtu, polis menahan 24 Rohingya di ibu negara dan merampas puluhan pasport Bangladesh dari empat orang disyaki anggota sindiket yang membawa pelarian dari Cox’s Bazar ke Dhaka. – Bernama, 15 Mei, 2019.
Komen