TIGA suspek pengganas yang diburu polis kerana merancang serangan rumah ibadat masih berada dalam negara, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
“Kami percaya mereka masih dalam negara. Kami sedang pergiatkan usaha untuk buru mereka.
“Polis sangat serius dan kami akan memastikan ketiga-tiga mereka ditangkap tidak lama lagi,” katanya pada sidang media hari ini.
Suspek berkenaan ialah Syazni Mahzan dan Nurul Azim Azizan, kedua-duanya dari Bidong, Kedah dan warga Indonesia, Fathir Thir yang alamat terakhirnya di Banting, Selangor.
Mereka ialah anggota pengganas Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) di negara ini.
Awal Mei lalu, polis menahan empat pengganas IS yang merancang melakukan pengeboman rumah ibadat, pusat hiburan dan pembunuhan beberapa individu berprofil tinggi.
Salah seorang yang ditahan adalah dalang serangan- seorang lelaki berusia 34 tahun dari Kuala Berang, Terengganu. Polis turut merampas sepucuk pistol dan enam alat letupan yang diubah suai daripadanya.
Suspek merancang serangan meletupkan kuil Sri Maha Mariamman, Seafiled, Subang Jaya Selangor untuk membalas dendam kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dalam rusuhan di kuil itu tahun lepas.
Tiga orang lagi yang ditahan adalah dua pendatang Rohingya dan seorang warga Indonesia. Mereka menerima arahan untuk melakukan serangan itu daripada seorang warga Malaysia tidak dikenali yang berada di Syria. – 15 Mei, 2019.
Komen