Apabila syarikat bermasalah, pekerja pun buat ulah


Zainal Rashid Ahmad

SEJAK 2015, apabila ekonomi merudum dan pertumbuhan KDNK kekal statik kurang 5% selama lima tahun berturut-turut, sektor pekerjaan mulai terjejas.

Selain isu domestik, masalah kejatuhan ringgit dan harga komoditi yang menjunam, turut menjerumuskan negara dalam kitaran ekonomi yang menekan.

Apa yang paling teruk dalam lingkaran ekonomi domino ini ialah 159,872 orang hilang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

Selain pekerja am, sebahagian besar ialah kumpulan profesional dalam bidang perkhidmatan, kejuruteraan, komersil, media massa dan sektor SME.

Lima tahun sejak 2015, KDNK memang menurun. Pada jajaran 5% hingga 4.2% setahun. Kadar inflasi kekal 3% hingga 3.2%. Manakala ringgit merudum pada tempoh yang sama sebagai mata wang keempat paling teruk di Asia.

Ringgit dalam tempoh empat tahun ini pula, jatuh dari RM3.20 berbanding US$1 ke paras RM4.20 sen.

Tidak cukup dengan ringgit pokai, harga komoditi yang menyumbang 28% pada ekonomi negara terus menjunam. Harga minyak mentah, hasil sawit dan getah rebah ke paras kritikal.

Minyak mentah dalam tempoh lima tahun, melalui kejatuhan paling teruk dalam sejarah ekonomi moden selepas Perang Dunia Kedua. Harganya merudum daripada AS$120 setong ke paras AS$48. Dalam empat bulan pertama tahun ini, harganya berlegar sekitar AS$68 setong.

Manakala, sawit menjunam ke daripada RM3,200 ke RM1600 setan metrik. Manakala getah pernah berada di bawah paras RM2 sekilo.

Ini jajaran angka ekonomi dalam tempoh lima tahun. Dalam keadaan sekarang, angkanya lebih baik sedikit. Namun, persekitaran ekonomi dunia kekal meletakkan sektor komoditi sebagai yoyo. Sekali gus, antara faktor yang menjejaskan proses pengukuhan ringgit.

Artikel ini tidak mahu dipenuhi angka-angka ekonomi. Cukup paparan senario umumnya saja sebagai intro. Tema utama artikel ini ialah sikap buruk pekerja terutama Melayu dalam menghadapi kemelesetan ekonomi – sikap khianat terhadap syarikat dan majikan.

Realiti yang menyedihkan, apabila syarikat sedang berdepan dengan pelbagai krisis perniagaan dalam tempoh lima tahun yang mencabar ini, pekerja lebih bersikap perosak. Lebih kerap menunjukkan belang pengkhianatan dan mensabotaj syarikat ketika berdepan detik-detik sukar.

Tempoh lima tahun terakhir ini, terutama selepas Pakatan Harapan berkuasa dan nuansa ekonomi negara sedang mencari penyelarasan baru, ratusan ribu orang telah kehilangan kerja. Malah, puluhan ribu dijangka akan terus berdepan dilema ketidaktentuan kerjaya.

Namun, terdapat banyak syarikat yang memilih untuk terus bertahan dan berusaha mengekalkan pekerja dan berjuang meneruskan perniagaan.

Cuma, cabarannya sangat besar. Ketika majikan berdepan beban cabaran ekonomi yang sukar, tekanan kos operasi yang kekal tinggi dan kemerosotan pendapatan, pekerja memilih untuk memusuhi syarikat. Malah, dalam keadaan tertentu bersikap khianat.

Adalah lumrah, apabila pendapatan merudum, syarikat perlu menyusun dan meneliti semula, semua hala tuju perniagaan.

Namun, cabaran utama apabila pekerja sendiri menjadi penghalang. Malah, secara terbuka pekerja memperlekeh dan menyelar setiap usaha syarikat. Tanpa rasa bersalah, tiap langkah pembaharuan akan dituduh cenderung untuk gagal.

Hari ini bukan isu aneh, apabila gaji terlewat dua atau tiga hari, ada pekerja mula memuat naik status di media sosial dan secara sinis menyindir serta mengutuk majikan.

Apabila lewat seminggu, ditukarkan ke maki-hamun dan secara terbuka berniat memburukkan lagi imej syarikat.

Anda boleh menjelajah status media sosial dan menemukan begitu banyak tanda pagar celaan terhadap syarikat berkaitan kelewatan gaji dan pemotongan bajet insentif.

Lebih buruk lagi ialah sabotaj terhadap pembaharuan operasi. Bagi pekerja yang enggan terbeban dengan proses pemulihan syarikat, mereka akan menentang pembaharuan. Walaupun sedar, syarikat tidak mampu lagi bertahan dengan prospek perniagaan gaya lama.

Proses mengubah hala tuju perniagaan pasti memerlukan transformasi dan kesannya pasti mengubah suasana persekitaran kerja. Ini pasti berlaku.

Perubahan operasi tentunya antara tunggak utama untuk membolehkan syarikat menyusun semula perniagaan untuk kekal kompeten dan mencapai sasaran lebih mapan.

Ini yang rumit. Dalam banyak kes, terutama bagi syarikat konservatif, pekerja akan menentang pembaharuan. Alasannya mudah: skop kerja lama tidak merangkumi tanggung jawab baharu yang diberikan.

Ini sikap di mana pekerja secara terus-terang dan tanpa malu-malu memperlihatkan keengganan untuk mengubah rutin bekerja. Malah, enggan melalui proses kemahiran baharu berdasarkan sasaran transformasi.

Bagi jawatan kanan yang bergaji besar, suasana ingin selesa dengan budaya kerja lama menjadikan proses transformasi satu masalah di peringkat pengurusan. Sikap parasit ini pastinya merebak sampai ke pekerja bawahan.

Pekerja jenis ini cuba memaksa syarikat mengekalkan cara lama. Walaupun hakikatnya cara lama punca kejatuhan perniagaan.

Selain enggan berubah, kumpulan anti transformasi akan mencetuskan krisis komunikasi antara pekerja dan pengurusan. Ini antara punca kekusutan ke arah pembaharuan.

Akhirnya, sikap pekerja menjadi masalah utama yang lebih teruk berbanding kemelut perniagaan itu sendiri.

Krisis ini bukan berlaku di negara ini saja. Syarikat gergasi Vice Media di Amerika Syarikat turut mengalami sindrom yang sama. Apabila perniagaan merosot, wujud perpecahan di kalangan pekerja. Malah, dua puak ini saling mensabotaj satu sama lain.

Kes Vice Media dianggap sejarah, kerana juruaudit yang menilai syarikat ini menyimpulkan: punca kejatuhan syarikat media digital ini disebabkan krisis toksik. Istilah terhadap konflik pertelagahan sesama kakitangan.

Berbalik pada sikap pekerja di negara ini. Kumpulan yang malas berubah akan menyelar semua jenis pembaharuan. Walaupun mereka tahu, syarikat mengalami krisis kerana perniagaan konvensional tidak lagi berdaya maju.

Mereka tidak sedar, gergasi korporat segagah Petronas juga memilih langkah menyusun semula teras perniagaan. Malah, rejim pembaharuannya kini lebih memberi fokus pada sektor hiliran.

Petronas sedar, ketika harga minyak mentah menjunam antara 40% hingga 60%, perubahan drastik perlu dilakukan segera.

Pada 2017, apabila harga minyak mentah terus merudum Petronas mengurangkan perbelanjaan modal (capex) dan perbelanjaan operasi (opex) syarikat sehingga RM50 bilion.

Satu angka penjimatan yang besar dan pekerjanya bertindak pantas menyesuaikan diri dengan perubahan drastik itu.

Hari ini, ketika krisis perniagaan sangat menekan, banyak syarikat berdepan serangan dalaman. Pekerja bermasalah memilih menjadi pengkhianat kepada syarikat. Sentiasa mengambil kesempatan untuk mencipta ulah dan onar.

Justeru, tidak hairanlah semua dokumen dalaman terutama notis penangguhan gaji, notis pengurangan kos dan notis pengurangan biaya perubatan akan disebar.

Pekerja jenis ini berniat dengan sengaja untuk memalukan syarikat. Malah, mahu meletakkan pengurusan dalam keadaan tertekan, malu dan diperlekehkan. Ini sangat menyedihkan.

Apa lagi sikap jahat dan khianat begini majoritinya amalan pekerja Melayu dan Islam. Satu sindrom di mana “anjing dengan sengaja menggigit tangan tuan yang memberikan makanan”. – 15 Mei, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen