Waran tangkap bekas ahli Bigbang ditolak


Bintang K-pop Seungri bercakap kepada media sementara menunggu keputusan mahkamah berhubung dakwaan pelacuran dan menggelapkan wang yang mengaitkan dirinya. – Gambar EPA, 15 Mei, 2019.

MAHKAMAH di Korea Selatan semalam tidak mengeluarkan waran tangkap ke atas bintang K-pop Seungri, berhubung beberapa dakwaan termasuk pelacuran dalam skandal seks yang mengaitkan dirinya, lapor agensi berita Yonhap.

Penyanyi berusia 28 tahun daripada kumpulan lelaki popular Bigbang dan rakan kongsinya dituduh menguruskan khidmat seks untuk pelabur dan pelanggan kaya di sebuah kelab malam milik mereka.

Mahkamah Daerah Pusat Seoul berkata ada “ruang pertikaian” berhubung dakwaan menggelapkan wang dan sedikit kebimbangan dia mungkin memusnahkan bukti.

Terdahulu, Seungri atau nama sebenarnya Lee Seung-hyun, hadir di mahkamah untuk mendengar pertuduhan ke atasnya.

Dia kemudian meninggalkan mahkamah dalam keadaan tangannya bergari dan ditutup dengan kain serta dibawa ke pusat tahanan berhampiran untuk menunggu keputusan mahkamah.

Penyiasat polis mendakwa, Seungri dan rakan kongsinya mendapatkan berpuluh-puluh pelacur untuk sekumpulan pelabur Jepun pada 2015 di kelab malam mewah mereka, Burning Sun.

Kedua-duanya turut dituduh menggelapkan kira-kira 530 juta won (RM1.88 juta) daripada perniagaan itu dan berdepan dakwaan melanggar kod kebersihan di kelab malam terbabit, di mana pengedaran dadah berleluasa dan wanita kerap dirogol.

Seungri yang mengumumkan persaraannya daripada dunia hiburan Mac lalu susulan skandal itu, menafikan tuduhan ke atasnya.

Bintang lain turut terbabit dalam pertuduhan itu selepas siasatan terhadap Seungri mendedahkan ruangan sembang online di mana sejumlah selebriti lelaki berkongsi video seks yang dirakam secara haram.

Penyanyi dan penulis lagu, Jung Joon-young yang mengendalikan ruang sembang itu ditahan Mac lalu selepas mengaku merakam hubungan seksnya dan berkongsi rakaman itu tanpa pengetahuan pasangannya.

Seorang anggota kumpulan lelaki FT Island ditahan awal bulan ini sementara selebriti lain mengumumkan persaraannya ketika siasatan masih berterusan. – AFP, 15 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen