4 terbunuh dalam perarakan Katolik di Burkina Faso


Sekumpulan lelaki bersenjata membunuh empat penganut Katolik dalam satu upacara keagamaan di utara Burkina Faso, Isnin lalu. – Gambar fail AFP, 15 Mei, 2019.

SEKUMPULAN lelaki bersenjata membunuh empat penganut Katolik dalam satu upacara keagamaan di utara Burkina Faso, sehari selepas seorang paderi dan lima jemaah dibunuh ketika beribadat, kata pihak berkuasa gereja.

Perarakan dengan patung Virgin Mary sedang bergerak dari bandar di Ouahigouya pada Isnin apabila sekumpulan pengganas memintas mereka, membunuh empat jemaah dan membakar patung itu, kata jurucakap Gereja Ouagadougou.

Menurut agensi berita AIB, penyerang menghentikan perarakan itu.

“Mereka melepaskan kanak-kanak pergi, membunuh empat dewasa dan memusnahkan patung,” katanya memetik saksi.

Serangan itu berlaku sehari selepas sekumpulan 30 lelaki bersenjata menyerbu masuk sebuah gereja Katolik di Dablo, juga di utara Burkina Faso, menembak mati lima jemaah termasuk paderi.

Penyerang kemudian membakar gereja itu, beberapa kedai dan kafe kecil sebelum menuju ke pusat kesihatan di mana mereka membakar kenderaan milik ketua jururawat. – AFP, 15 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen