SRI LANKA semalam mengumumkan arahan perintah berkurung bagi malam kedua berturut-turut selepas seorang lelaki dibunuh perusuh dengan pedang, ketika gerakan anti Islam semakin tegang susulan serangan keganasan pada sambutan Easter.
Keganasan tercetus lewat Isnin lalu, tiga minggu selepas ekstremis Islam mengebom mati 258 orang, dengan pengganas melakukan serangan kebakaran dan 2,000 orang merosakkan masjid, kata saksi.
Polis mengumumkan perintah berkurung di seluruh negara untuk malam kedua untuk cuba menghentikan keganasan itu, bermula 9 malam.
Perintah berkurung itu dikenakan sepanjang hari di North-Western Province (NWP), di mana polis berkata seorang lelaki Muslim berusia 45 tahun disembelih di kedai kayunya pada Isnin oleh segerombolan orang yang membawa pedang.
Fauzul Ameen dikebumikan semalam di tapak perkuburan Islam di Nattandiya dengan kawalan ketat. Askar dan polis bersenjata lengkap mengawal upacara pengebumian itu yang dihadiri kira-kira 100 orang.
Polis berkata lebih 80 ditahan termasuk Amith Weerasinghe dari masyarakat majoriti Sri Langka iaitu Buddhist Sinhalese yang dalam ikat jamin kerana peranannya yang hampir sama dalam satu rusuhan pada Mac tahun lalu.
Semua suspek ditahan mengikut undang-undang darurat dan Perjanjian Antarabangsa Hak Sivil dan Politik yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun. – AFP, 15 Mei, 2019.
Komen