Mangsa cabul saman Vatican, desak maklumat paderi didedah


Lima rakyat AS yang mendakwa dicabul paderi Katolik memfailkan saman terhadap Vatican semalam untuk memaksa ia menyerahkan nama mengenai paderi yang melakukan jenayah itu. – Gambar fail EPA, 15 Mei, 2019.

LIMA rakyat Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa dicabul paderi Katolik memfailkan saman terhadap Vatican semalam untuk memaksa ia membuka arkib dan menyerahkan nama serta maklumat mengenai paderi yang melakukan jenayah itu.

Plaintif “terjejas akibat perbuatan defendan dan dasar tidak melaporkan kes penderaan kanak-kanak kepada pegawai penguat kuasa undang-undang”, menurut saman yang difailkan di mahkamah persekutuan AS di Minnesota.

“Amalan badan tertinggi di Vatican yang mempertahankan, menyembunyikan dan menyorokkan bukti jenayah dilakukan ejennya dan bekas ejennya membahayakan ramai kanak-kanak dan meletakkan mereka dalam keadaan tidak selamat,” kata saman itu.

Seorang plaintif, Stephen Hoffman berkata pada sidang akhbar matlamat saman itu untuk memastikan “sesuatu seperti ini tidak akan berlaku lagi”.

“Saya tidak mahu orang lain melalui apa yang saya dan dua saudara saya lalui.

“Saya cuma mahu Vatican melakukan apa yang betul,” katanya.

Hoffman dan saudara lelakinya, Luke dan Benedict berkata mereka dicabul paderi Katolik, Curtis Wehmeyer yang ditahan pada 2012, dan dijatuhkan hukuman lima tahun penjara selepas ibu mereka melaporkan kes itu.

Kes itu mencetuskan skandal yang menyebabkan peletakan jawatan paderi besar negeri berkenaan pada 2015.

Seorang lagi plaintif, Jim Keenan, 51, berkata beliau dicabul sepanjang 1970-an oleh paderi di mana tindakannya didokumenkan secara rahsia oleh gereja.

“Saya tampil hari ini untuk menyaman Pope dan Vatican, kerana ia perlu dihentikan,” katanya. – AFP, 15 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen