MODEL ekonomi baharu Pakatan Harapan (PH) berbeza dengan agenda pembangunan Barisan Nasional (BN) kerana ia lebih memberi penekanan terhadap menyebarkan kekayaan sama rata, berbanding hanya merangsang pertumbuhan untuk mencapai status global, kata pakar ekonomi.
Model baharu itu dinamakan “Kemakmuran Bersama” diumumkan pada 10 Mei ketika PH meraikan ulang tahun pertamanya memenangi kuasa persekutuan.
Model itu diharapkan dapat menangani beberapa masalah yang sekian lama membelenggu rakyat Malaysia di bawah rejim BN – ketidaksamarataan pendapatan dan pembangunan, dan tekanan kos sara hidup.
Menurut Program Transformasi Ekonomi (ETP), prinsip inklusif bagi memastikan kekayaan ekonomi negara akan dikongsi sama rata.
Jadi persoalan dihadapi PH ialah bagaimana ia boleh mencapai kualiti ekonomi lebih baik berbanding BN?
Dua faktor utama akan menentukannya – pelan kukuh dan pelaksanaan efektif terhadap pelan itu, kata pakar ekonomi kepada The Malaysian Insight.
Prof Dr Barjoyai Bardai berkata PH perlu ada pelan kukuh berkenaan melatih rakyat Malaysia mencari aliran pendapatan tambahan untuk menambah apa yang diperoleh daripada kerja tradisi mereka.
Dan bagi menjadikan pelan itu berjaya, ia perlu diterima secara maksimum oleh mereka yang disasarkan untuk dibantu – kelas bekerja dan mereka di kawasan luar bandar, kata pakar ekonomi Dr Ramon Navaratnam.
“Model ekonomi baharu yang kritikal itu akan dibincangkan secara keseluruhan dan luas di semua peringkat dalam masyarakat kita,” kata Ramon, Pengerusi Pusat Pengajian Dasar Awam (CPPS) Asli.
“Rakyat kita di seluruh negara, khususnya di kawasan luar bandar dan pekan kecil, perlu diberi penerangan untuk mendapatkan sokongan mereka terhadap model baharu itu,” kata Ramon.
“Seperti yang perdana menteri kata ‘rancangan hebat tidak akan bermakna apa-apa jika ia tidak dilaksanakan dengan tepat atau dipantau untuk mendapatkan hasilnya’,” katanya.
Pertumbuhan lawan sama rata
Sasaran pertama model baharu PH itu ialah untuk mengurangkan ketidaksamarataan pendapatan dan kekayaan antara kelas, masyarakat kaum, wilayah dan dalam rantaian bekalan penghasilan supaya “tidak ada yang ketinggalan”.

Menurut laporan Keadaan Isi Rumah Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) 2018, majoriti daerah di negara ini berpendapatan kurang daripada media pendapatan isi rumah nasional iaitu RM5,228 sebulan.
Isi rumah di daerah sangat bandar mempunyai pendapatan lebih tinggi berbanding median nasional.
Contohnya median pendapatan isi rumah di Petaling Jaya ialah RM7,904, Timur Laut, Pulau Pinang ialah RM5,964 dan Johor Baru RM6,518.
Sebagai perbandingan, Kelantan mempunyai peratusan tertinggi isi rumah di bawah media pendapatan nasional iaitu RM6,958 dan 85.3% isi rumah mendapat pendapatan di bawah RM7,000. Ini diikuti dengan Perlis pada 81.6% dan Pahang 81.2%.
Walaupun ETP BN turut menyasarkan pada mengurangkan ketidaksamarataan, PH mendakwa ia tidak mencukupi.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan model ekonomi BN sepanjang sedekad lalu berdasarkan kepada projek mega yang dibiayai dengan hutang dan pembangunan tertumpu di pusat bandar terpilih.
“Pemilikan ekuiti negara condong ke arah pemilik asing dan pertumbuhan dan pemilikan ekuiti untuk penduduk tempatan diabaikan,” kata Dr Mahathir.
Barjoyai berkata fokus pentadbiran terdahulu pada pertumbuhan pesat supaya negara dapat mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2020 – satu matlamat yang sering digunakan oleh Najib Razak dalam ucapan dasarnya.
“Sebelum ini, bahas sering tentang pertumbuhan lawan sama rata,” kata Barjoyai dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). – 15 Mei, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen