Syarikat ada kaitan bekas pemimpin Umno diberi kontrak Kementah


Chan Kok Leong

KEMENTERIAN Pertahanan (Kementah) ketika di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi kontrak kepada sebuah syarikat dikaitkan dengan bekas pemimpin politik meskipun kurang dari segi pengalaman dan keupayaan kewangan untuk melaksanakan projek, menurut laporan audit khas berkenaan projek pertukaran tanah.

Pasukan audit khas diketuai oleh bekas ketua audit negara Ambrin Buang mendapati sebuah syarikat dikaitkan dengan bekas ketua Wanita Umno Selangor telah diberi kontrak membina Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) di Putrajaya pada 1993.

Dalam surat kepada Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada 1994, pemaju berkata “cadangannya telah diterima (oleh kerajaan)” meskipun projek tersebut masih dalam peringkat cadangan, sebut laporan itu.

Dalam surat lain bertarikh 26 September 1994, pengarah syarikat berkenaan menulis: “EPU dan Pejabat Perdana Menteri akan membentangkan projek Puspahanas dalam mesyuarat Kabinet pada Oktober 1994”.

“Ini merupakan projek penswastaan pertama saya dan saya amat memerlukan sokongan,” kata pengarah syarikat itu.

Surat tersebut dialamatkan kepada timbalan perdana menteri ketika itu, Anwar Ibrahim.

Anwar, yang pada masa itu juga menteri kewangan berkata kontrak tersebut tidak sepatutnya diberi kepada pemaju tersebut kerana tiga pembida lain masih belum menghantar cadangan mereka.

Alasan lain Anwar bagi menolak Awan Megah (M) Sdn Bhd (AMSB) adalah skop kerja projek masih belum ditentukan dan nilai pertukaran tanah tidak sesuai bagi projek itu.

Namun, kerajaan tetap memutuskan untuk memberi kontrak kepada AMSB.

Bekas ketua audit negara Ambrin Buang mengetuai pasukan audit khas berkenaan projek pertukaran tanah Kementerian Pertahanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2019.

Laporan juga menyatakan bahawa jawatankuasa audit khas berpendapat “campur tangan anggota pentadbiran menyebabkan kontraktor tidak berpengalaman dilantik dan RM26.8 juta dibayar (kepada AMSB) ketika kontrak telah luput”.

Salah satu daripada empat syarikat yang membida projek itu mempunyai pengalaman paling tinggi dan mempunyai modal berbayar tertinggi iaitu RM108 juta. Manakala pemaju yang diberi kontrak hanya mempunyai modal berbayar RM250,000.

Menurut laporan itu lagi, satu cadangan ditolak kerana masalah kelewatan dan dua lagi ditolak kerana mereka adalah syarikat bermodalkan RM2.

Disebabkan kontraktor yang dilantik tidak mempunyai pengalaman, projek lambat disiapkan dan dilanjutkan dengan dua perjanjian tambahan.

Perjanjian asal ditandatangani pada 29 Disember 2005 dengan tarikh jangkaan siap pada 7 Jun 2008. Namun, oleh kerana pemaju gagal menyiapkan projek tepat pada waktunya, satu lagi kontrak tambahan ditandatangani untuk melanjutkan projek.

Akibatnya, tempoh jangkaan siap menjadi 15 tahun berbanding jangkaan asal 177 bulan. Perjanjian tambahan pertama ditandatangani pada 2014 bagi lanjutan 72 bulan, manakala perjanjian tambahan kedua ditandatangani pada 2017 bagi lanjutan untuk 105 bulan lagi. Kedua-dua perjanjian tersebut diundur tarikh masing-masing 68 dan 31 bulan.

Susulan kelewatan itu, nilai pertukaran tanah terpaksa diselaraskan semula sebanyak dua kali. – 15 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen