Gaza berdepan kekurangan makanan menjelang Jun  


AGENSI Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dalam satu kenyataan akhbar rasmi berkata, ketika umat Islam di seluruh dunia menunaikan ibadat puasa pada Ramadan, lebih separuh penduduk di Gaza bergantung kepada bantuan makanan yang disediakan komuniti antarabangsa. – Gambar EPA, 14 Mei, 2019

AGENSI Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) semalam berkata, lebih separuh penduduk Semenanjung Gaza mungkin tidak mempunyai makanan yang mencukupi menjelang Jun, lapor agensi berita China Xinhua.

“Ketika umat Islam di seluruh dunia menunaikan ibadat puasa pada Ramadan, lebih separuh penduduk di Gaza bergantung kepada bantuan makanan yang disediakan komuniti antarabangsa,” kata UNRWA dalam satu kenyataan akhbar rasmi.

UNRWA menyuarakan kebimbangannya bahawa jika ia boleh mengumpul dana tambahan berjumlah sekurang-kurangnya US$60 juta menjelang Jun, keupayaan agensi itu untuk terus menyalurkan bantuan makanan kepada lebih sejuta pelarian Palestin di Gaza akan terjejas teruk.

Menurutnya, pada 2000, terddapat kurang 80,000 pelarian Palestin yang menerima bantuan UNRWA di Gaza.

UNRWA dibiayai hampir sepenuhnya oleh sumbangan dan bantuan kewangan secara sukarela bagaimanapun Amerika Syarikat telah membuat keputusan untuk menghentikan pembiayaan kepada agensi PBB itu sebelum rakyat Palestin meneruskan semula rundingan damai dengan Israel.

Terdahulu pada hari sama, Nickolay Mladenov utusan perdamaian PBB ke Timur Tengah menggesa rakyat Israel dan Palestin untuk menstabilkan persefahaman gencatan senjata yang ditaja oleh Mesir, PBB dan Qatar.

Gesaan Mladenov dibuat pada taklimat berita yang diadakan di selatan Gaza ketika beliau memeriksa projek tenaga solar yang dibiayai Pertubuhan Kesihatan Sedunia di sebuah hospital di bandar Khan Younis.

“Kami berharap semua pihak akan mematuhi gencatan senjata ini supaya pelaksanaan projek bantuan kemanusiaan dapat diteruskan,” katanya kepada pemberita.

“Kami memerlukan kerjasama semua pihak termasuk Pihak Berkuasa Palestin, rakyat Mesir dan rakyat Israel bagi memperbaiki kehidupan penduduk Palestin di Gaza supaya mereka mempunyai harapan untuk masa depan yang lebih baik,” katanya. – Bernama, 14 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen