KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggesa semua pengguna lebih berhati-hati dalam melakukan pembelian atas talian atau online memandangkan aduan terhadap penipuan perniagaan meningkat.
Menterinya, Saifuddin Nasution berkata aduan tribunal pengguna terkini menunjukkan aduan tertinggi ialah mengenai kenaikan harga barang, diikuti penipuan online dan iklan produk yang mengelirukan.
“Saya suka menasihati pengguna supaya berhati-hati, jadilah pengguna yang bijak. Tahu sebelum melakukan transaksi itu. Tahu servis dan barangan itu betul-betul,” katanya dalam satu sidang media selepas melancarkan produk Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) Payfo di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan angka terperinci mengenai aduan tersebut.
Pada masa sama, Saifuddin berkata pihaknya melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mewujudkan produk baru iaitu basetrust yang mengumpulkan data syarikat perniagaan yang sahih.
“Maknanya kalau orang yang mendaftar syarikat kemudian mendaftar untuk mendapatkan status basetrust, itu adalah jaminan kepada pengguna.
“Kalau berurusan dengan syarikat ada status ini dia akan terhindar daripada penipuan. Penipuan online dalam Facebook pun boleh buat perniagaan,” katanya lagi.
Berkenaan produk PNMB Payfo, Saifuddin berkata ia dilihat dapat memberi ruang dan perkhidmatan kewangan selain membantu pengguna meneliti, merancang dan membuat pembayaran secara lebih komprehensif.
“Industri teknologi kewangan ini sedang hangat membangun di seluruh dunia. Menurut laporan Fintech Malaysia 2018, jumlah transaksi yang direkodkan oleh mobile banking dan e-money pada 2017 mencecah RM2.82 bilion daripada RM57.4 bilion.
“Ini membuktikan syarikat-syarikat sedang mengadaptasi dan berinovasi menuju ke arah membangunkan ekonomi digital sejajar dengan trend semasa,” katanya.
Produk PNMB Payfo membangunkan perkhidmatan e-wallet, payment gate dan bill aggregator.
Aplikasi tersebut turut menyediakan perkhidmatan kewangan selain aplikasi E-Pasaran bagi warga asing dan Bank Digital. – 14 Mei, 2019.
Komen