ANGGOTA bomba Muhammad Adib Mohd Kassim berkemungkinan cedera akibat meluru keluar dari van Perkhidmatan Penyelamat dan Perubatan Kecemasan (EMRS) semasa kenderaan itu sedang mengundur ketika rusuhan di kuil Seafield tahun lalu, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.
Pakar forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata kecederaan Adib tidak menunjukkan sebarang tanda kekerasan dikenakan terhadapnya.
“Mangsa keluar secara tergesa-gesa dan melanggar bucu pintu kiri van EMRS.
“Ini menyebabkan melecet di bahagian kiri pinggulnya dan tujuh tulang rusuknya patah,” kata Hafizam ketika memberi keterangan dalam inkues bagi menyiasat kematian Adib, di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Hafizam menolak pandangan seorang lagi pakar, Prof Dr Shahrom Abd Wahid yang merumuskan bahawa Adib ditarik keluar dari van EMRS dan dihentak antara pintu gelongsor van.
Katanya, terdapat percanggahan dalam eksperimen forensik yang dijalankan oleh Shahrom, bekas pakar perunding forensik dan patologi.
Hafarizam berkata berdasarkan pemeriksaan semula dan eksperimen yang dijalankan pada 12 April, beliau dan Ketua Jabatan Forensik HKL Dr Mohd Shah Mahmood bersetuju untuk menyangkal teori Shahrom.
Berdasarkan laporan bedah siasat yang mereka jalankan, Adib terlanggar pintu van, jatuh dan dadanya terkena permukaan keras, katanya.
“Dadanya menghentam permukaan keras, luas, tumpul dan kasar.
“Juga terdapat lebam di dada kanan dan lengan kanan, lima tulang rusuknya patah, kesan luka pada lutut,” tambah Hafarizam. – 14 Mei, 2019.
Komen