Pengharaman festival bir langgar hak individu, kata bekas hakim


Asila Jalil

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram berkata tiada satu agama yang boleh memaksa orang lain bertindak mengikut kehendaknya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 September, 2017.

PEMBATALAN “Better Beer Festival” adalah pelanggaran terhadap hak individu kerana ia menentukan bagaimana seseorang menjalani kehidupannya, kata bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram.

“Saya rasa lebih cepat kita menyedari yang kita sebenarnya sebuah negara sekular dan bukan negara Islam, dan tiada satu agama pun boleh memaksa orang lain bertindak mengikut kehendaknya,” kata beliau pada forum Majlis Peguam yang diadakan di Kuala Lumpur, malam tadi.

Sri Ram berkata pembatalan festival itu melanggar Perkara 3 Perlembagaan, kerana ia memerintahkan bagaimana seseorang menentukan kehidupan individu lain sedangkan ia “bukan urusan sesiapa”.

“Kami adalah peguam, kami bukan ahli politik,” katanya.

“Kami tidak peduli apa yang dikatakan ahli politik tetapi dari sudut pandangan peguam, ia adalah pelanggaran hak seseorang.”

Bagaimanapun, panelis lain pada forum itu, Pengarah Islamic Renaissance Front, Dr Ahmad Farouk Musa berkata ia bukan sekadar mengenai hak peribadi dan mengatakannya sebagai isu yang sangat sensitif.

“Anda tidak akan dapat memuaskan setiap bahagian masyarakat, sama ada mereka adalah Islam atau bukan Islam, sahabat kepada orang Islam atau bukan Islam, sama ada mereka di luar bandar atau tidak,” katanya.

“Apabila kita mengatakan yang kita harus membenarkan orang ramai mengadakan festival seperti ini, misalnya festival bir, di mana kita meletakkan garis sempadan yang boleh anda boleh lakukan ini tetapi tidak boleh mengadakan festival gay.

“Kita tidak akan tahu di mana hendak berhenti, di mana hendak meletakkan titik batasan,” kata Ahmad.

Festival bir yang dijadualkan berlangsung pada 6 dan 7 Oktober ini dibatalkan berikutan tidak puas daripada kumpulan Islam dan sensitiviti politik yang melingkari acara itu.

Parti Islam PAS membantah festival itu, dengan mengatakan ia boleh membawa kepada penyebaran maksiat.

Anggota jawatankuasa pusat parti itu, Dr Riduan Mohd Nor, berkata sikap tidak toleransi masyarakat terhadap aktiviti tidak bermoral mesti diambil serius berbanding memberi kebenaran kepada kumpulan kecil untuk memenuhi kehendak mereka.

Penganjur festival, MyBeer (M) Sdn Bhd, berkata pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan pembatalan acara berkenaan atas faktor keselamatan.

Festival yang sepatutnya diadakan di Galeri Membeli-belah Publika, akan menampilkan 250 bir buatan khas daripada 43 pembuat bir seluruh dunia. Pihak penganjur juga menjangkakan kehadiran seramai 6,000 orang. – 21 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen