Bangkit bela diri, kata pesuruhjaya polis wanita Papua


Setakat ini daripada 111 kerusi Parlimen di Papua New Guinea tidak ada satu pun diwakili wanita, dengan hanya beberapa wanita bertugas dalam pasukan polis. – Gambar fail AFP, 14 Mei, 2019.

PESURUHJAYA polis wanita Papua menyeru wanita di negara itu bangkit membela nasib sendiri kerana hidup di negara yang keganasan seksual sudah menjadi penyakit, wanita masih menjadi sasaran dan serangan sihir serta tiada suara wanita di Parlimen.

Julie Palakai, 43, mangsa keganasan rumah tangga dan berkhidmat 18 tahun dalam pasukan keselamatan adalah pegawai kanan polis wanita di Papua New Guinea – mendesak wanita di negara itu bangkit menentang seksisme bersamanya.

“Wanita perlu berusaha dan bangkit menentang sebarang bentuk diskriminasi, penderaan dan gangguan seksual di tempat kerja,” katanya.

“Bagi wanita muda yang masih berusaha, jangan berputus asa tetapi usaha yang terbaik untuk mencapai impian dan mencari hidup yang lebih baik serta bahagia. Tidak ada yang mustahil,” katanya.

Laporan badan pemantau hak asasi manusia menamakan Papua new Guinea sebagai negara paling bahaya di dunia untuk wanita kerana dianggarkan 70% wanita dirogol dan mengalami gangguan seksual sepanjang hidup mereka.

Menurut NGO itu, isu keganasan membabitkan ahli sihir masih wujud, wanita dan anak gadis menjadi sasaran utama, walaupun lelaki pernah menjadi mangsa buruan ahli sihir.

Setakat ini daripada 111 kerusi Parlimen di negara itu tidak ada satu pun diwakili wanita, dengan hanya beberapa wanita bertugas dalam pasukan polis.

Julie satu-satunya pegawai pesuruhjaya wanita – istilah untuk pengurusan kanan daripada pemeriksa gred ke atas – di semua kawasan Kepulauan Timur Laut Papua New Guinea. – AFP, 14 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen