PESAWAT kedua dari China yang membawa bekalan perubatan termasuk ubat-ubatan tiba di Venezuela semalam sebagai sebahagian perjanjian kerjasama “teknikal kemanusian” antara kerajaan Presiden Nicolas Maduro dan kuasa besar Asia itu.
Sebuah Boeing 747 membaa 71 tan ubat dan bahan pembedahan tiba di ibu kota Caracas, kata kerajaan dalam satu kenyataan.
Ia termasuk bekalan untuk wanita hamil dan ubat bagi merawat penyakit pernafasan.
“Dengan penghantaran kedua ini, ditambah dengan yang diterima dari Persekutuan Rusia, Persatuan Bulan Sabit Merah Antarabangsa, kira-kira 166 tan ubat dan peralatan perubatan tiba di negara ini,” kata Menteri Kesihatan Carlos Alvarado.
Penghantaran 65 tan bantuan sebelum ini tiba dari China pada 29 Mac.
Venezuela mengalami kekurangan keperluan asas yang sangat serius termasuk makanan dan perubatan selepas lima tahun mengalami kemelesetan ekonomi.
PBB berkata hampir suku daripada 30 juta populasinya sangat memerlukan bantuan kemanusiaan.
Negara itu juga dicengkam krisis politik sejak Januari apabila speaker Parlimen Juan Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku presiden – turut menerima sokongan lebih 50 negara – dalam satu cabaran langsung terhadap kekuasaan Maduro.
Guaido cuba mendapatkan bantuan dibekalkan dari AS, Colombia, Brazil dan Curacao tetapi tentera Venezuela menghalangnya atas perintah Maduro.
Maduro menyalahkan sekatan AS terhadap apa yang berlaku pada Venezuela dan mendakwa mereka menyebabkan ekonomi negaranya kerugian AS$30 bilion. – AFP, 14 Mei, 2019.
Komen