Kajian tunjukkan bulan semakin mengecil


Analisis imej yang ditangkap oleh Peninjau Pengorbit Bulan NASA menunjukkan permukaan bulan 'berkedut' dan sering berlaku gegaran. – Gambar EPA, 14 Mei, 2019.

BULAN berterusan mengecil, menyebabkan permukaannya “berkedut” dan sering berlaku gegaran, menurut analisis imej yang ditangkap oleh Peninjau Pengorbit Bulan (LRO), NASA yang diterbitkan pada Isnin.

Satu kaji selidik daripada lebih 12,000 imej mendedahkan lembangan bulan Mare Frigoris berhampiran kutub utara bulan - satu daripada banyak lembangan besar yang sekian lama dianggap sebagai kawasan mati dari sudut pandangan geologi - telah retak dan beralih.

Tidak seperti planet kita, bulan tidak mempunyai plat tektonik; sebaliknya, aktiviti tektoniknya berlaku kerana ia perlahan-lahan kehilangan haba sejak terbentuk 4.5 bilion tahun lalu.

Ini seterusnya menyebabkan permukaannya berkedut, seperti anggur yang menjadi kismis.

Memandangkan kerak bulan yang rapuh, daya ini menyebabkan permukaannya pecah apabila kedalamannya menyusut, mengakibatkan keadaan yang dipanggil sesar tujah, di mana satu bahagian kerak tertolak ke atas seksyen bersebelahan.

Akibatnya, bulan mengecil kira-kira 150 kaki (50 meter) sejak beberapa ratus juta tahun lalu.

Angkasawan Apollo mula-mula mengukur aktiviti seismik di bulan pada 1960-an dan 1970-an, mendapati sebahagian besarnya berlaku di bahagian dalam manakala bilangan lebih kecil di permukaannya.

Analisis itu diterbitkan dalam Nature Geoscience dan mengkaji gempa bulan yang cetek dicatatkan oleh misi Apollo, mewujudkan hubungan ia dengan ciri permukaan yang sangat muda.

“Sudah tentu sesar tujah masih aktif hari ini,” kata Nicholas Schmerr, penolong profesor geologi di Universiti Maryland yang bersama-sama menulis kajian itu.

“Anda kita selalu lihat melihat tektonik aktif di mana-mana selain bumi, jadi sangat menerujakan untuk berfikir sesar tujah ini mungkin masih menghasilkan gempa bulan.” – AFP, 14 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen