5 maut pasca rundingan peralihan kerajaan Sudan


Gerakan tunjuk perasaan di Sudan belum berakhir. Terbaru, seorang mejar tentera dan empat peserta bantahan ditembak mati di Khartoum. – Gambar AFP, 14 Mei, 2019.

SEORANG mejar tentera Sudan dan empat penunjuk perasaan ditembak mati semalam dalam satu bantahan di ibu kota Khartoum, beberapa jam selepas pemimpin bantahan dan jeneral pemerintah mencapai perjanjian bersejarah berhubung kuasa peralihan untuk kerajaan awam.

Perkembangan itu dicapai ketika pejabat pendakwa raya awam berkata presiden yang digulingkan Omar al-Bashir didakwa berhubung pembunuhan penunjuk perasaan ketika bantahan anti-rejim yang menjurus menamatkan pemerintahannya bulan lalu.

Mejar tentera terbabit terbunuh manakala tiga tentera cedera bersama empat penunjuk perasaan dan orang awam apabila “elemen tidak diketahui” melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan, kata majlis pemerintah tentera ketika kumpulan demonstrasi berkampung di luar kompleks tentera.

“Seorang penunjuk perasaan terbunuh apabila ditembak di dada ketika demonstrasi manakala tiga lagi maut di Khartoum,” kata sebuah jawatankuasa doktor dikaitkan pergerakan bantahan.

Penaung gerakan tunjuk perasaan itu, Pakatan Kebebasan dan Perubahan berkata keganasan itu untuk “menjejaskan kesepakatan rundingan”, menyalahkan pertumpahan darah itu berlaku kerana bekas rejim.

Keganasan semalam meletus beberapa jam selepas jeneral dan pergerakan tunjuk perasaan berkata, satu kesepakatan dicapai dalam rundingan berhubung penyerahan kuasa kepada pentadbiran awam.

“Dalam pertemuan hari ini, kami bersetuju berhubung struktur pihak berkuasa dan kuasa mereka. Pihak berkuasa adalah seperti berikut, majlis raja-raja, Kabinet dan badan perundangan,” kata jurucakap gerakan bantahan itu, Taha Osman.

Taha berkata satu lagi pertemuan akan diadakan hari ini (Selasa) bagi membincangkan tempoh peralihan dan anggota pihak berkuasa.

Majlis tentera mengesahkan satu perjanjian dicapai.

“Kami bersetuju membentuk pihak berkuasa peralihan di tiga peringkat, raja, eksekutif dan perundangan,” katanya. – AFP, 14 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen