AKTRES Amerika Felicity Huffman mengaku bersalah pada Isnin kerana membayar rasuah untuk membantu anak perempuannya mendapat kemasukan ke universiti berprestij, mengelakkan apa yang pasti menjadi perbicaraan yang bakal mendapat publisiti hangat dan mungkin juga hukuman penjara.
Bekas pelakon “Desperate Housewives” itu adalah selebriti terbaru terlibat dalam skandal rasuah kolej yang membabitkan golongan ibu bapa kaya di Amerika.
Tampil dalam keadaan menangis di depan Hakim Persekutuan Indira Talwani di Boston, Huffman mengaku bersalah membayar AS$15,000 untuk menaikkan skor peperiksaan kemasukan kolej SAT anak perempuannya.
Jenayah itu boleh dihukum sehingga 20 tahun penjara dan denda sebanyak AS$250,000, tetapi dengan mengakui bersalah, Huffman berkemungkinan terlepas daripada hukuman itu.
Pendakwa raya mencadangkan hukuman percubaan selama setahun dan denda AS$20,000, walaupun hakim boleh mengubah hukuman jika beliau berpuas hati.
Huffman mengumumkan hasratnya mengaku bersalah bulan lalu, mengatakan beliau “malu” terhadap apa yang telah dilakukannya. Penghakiman dijadualkan pada 13 September, kata peguam AS untuk Massachusetts Andrew Lelling.
Antara 50 orang didakwa terlibat dalam skandal kemasukan kolej itu - satu kumpulan termasuk CEO dan rakan kongsi di firma perundangan besar - 10 mengaku bersalah, termasuk lima ibu bapa.
Seramai 10 ibu bapa lain berkata mereka juga akan mengaku bersalah dalam skandal yang menyaksikan beberapa tertuduh membayar sehingga AS$400,000 untuk mendapatkan anak mereka tempat di kolej yang dipilih.
Ketua dalang di sebalik penipuan, William “Rick” Singer, yang pihak berkuasa mengatakan dibayar kira-kira AS$25 juta dolar bagi merasuah jurulatih dan pentadbir universiti, mengaku bersalah dan bekerjasama dengan pihak berkuasa. – AFP, 14 Mei, 2019.
Komen